KKM sedia serah laporan kepada syor PAC bulan depan

KKM sedia serah laporan kepada syor PAC bulan depan

ZALIHA Mustafa menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan (dua, kiri) dan Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (tengah) ketika Sambutan Hari Intergriti KKM di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiapkan laporan dan maklum balas berhubung syor yang diberikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melibatkan Pengurusan Wabak Covid-19.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, laporan berkenaan akan diserahkan kepada PAC pada bulan depan susulan pembentangan laporan prosiding PAC berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE).

Menurut beliau, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada PAC termasuk menyediakan segala maklumat berkaitan untuk keperluan jawatankuasa berkenaan.

“Kita sebenarnya sudah memberikan kerjasama penuh kepada PAC, mereka meminta daripada kita maklumat, termasuk mengenai perkara yang menjadi perhatian PAC itu.

“Jadi selebihnya kalau ada lagi yang diperlukan PAC, kami bersedia memberikan segala maklumat diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Sebelum ini, PAC memberi masa selama dua bulan kepada KKM untuk menjawab lima syor yang diberi jawatan kuasa itu berdasarkan laporan PAC yang mendapati kerajaan kerugian sebanyak RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin Covid-19 tamat tarikh luput berpunca daripada kurang permintaan dan kelewatan negara menerima vaksin tersebut.

PAC turut mendapati kerajaan tidak boleh mendapatkan ganti rugi terhadap perolehan 104 daripada 136 ventilator rosak yang diterima KKM pada tahun 2020.

Selain itu, laporan PAC turut mendedahkan berlaku lebihan bekalan PPE dipesan selain kira-kira 850,000 penutup but bernilai RM927,000 akan mencapai tarikh luputnya menjelang akhir 2024.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, KKM berjaya membaik pulih 511 klinik kesihatan dengan peruntukan sebanyak RM 111 juta, walaupun sasaran 436 klinik sahaja.

Katanya, dengan kawalan kepada ketirisan dan penjimatan serta tatakelola baik, sejumlah 75 tambahan klinik turut mendapat manfaat untuk diselesaikan tahun ini dengan bajet yang sama.

Berhubung inisiatif pemakaian Kamera Badan, beliau memberitahu, sebanyak 357 alat pemantauan itu sudah digunakan dalam kalangan penguat kuasa KKM sejak dimulakan pada akhir tahun lalu.

Katanya, inisiatif itu bagi memastikan ketelusan dan meningkatkan akauntabiliti serta mengelakkan unsur-unsur rasuah dalam penguatkuasaan selain memelihara kebajikan dan keselamatan pegawai KKM semasa melaksanakan tugas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya