KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyangkal dakwaan orang ramai dipaksa mengambil suntikan ISR dan menggesa fitnah tersebut tidak terus disebarkan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan ia adalah cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencalarkan imej KKM.
Kata beliau, arahan sepertimana didakwa tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh KKM, malah vaksin ISR yang didakwa disuntik secara paksa tidak wujud.
“Baru-baru ini tular di aplikasi WhatsApp berhubung isu suntikan vaksin ISR yang bakal disuntik secara paksa kepada setiap rumah warga Malaysia. KKM memandang serius terhadap penyebaran maklumat palsu tersebut.
“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat memandangkan kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berkenaan suntikan secara paksaan kepada rakyat Malaysia dan vaksin ISR ini tidak wujud.
“Ini adalah fitnah dan tohmahan semata-mata dan boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia serta mencalarkan imej KKM,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad Radzi menyeru dan menasihati orang ramai untuk berhenti menyebarkan sebarang perkongsian maklumat palsu dan tidak sah yang boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“KKM menasihati semua pihak untuk berhati-hati dalam menyebarkan informasi dan sentiasa memastikan kebenarannya sebelum berkongsi dengan mana-mana individu,” katanya. – UTUSAN