KKDW sedia RM15 juta geran Rural Business Challenge 2.0

KKDW sedia RM15 juta geran Rural Business Challenge 2.0

RUBIAH Wang melancarkan RBC 2.0 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta dalam bentuk geran untuk direbut usahawan luar bandar menerusi pertandingan Rural Business Challenge (RBC) 2.0.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, usahawan luar bandar boleh mula mendaftar untuk menyertai pertandingan itu bermula hari ini melalui laman sesawang RBC 2.0, https://rbc2u.com sebelum tarikh tutup penyertaan pada 31 Januari depan.

Beliau berkata, permohonan yang dikemukakan akan melalui beberapa proses tapisan dan penilaian secara dalam talian dan fizikal bagi memastikan bakal pemenang yang terpilih adalah usahawan desa yang benar-benar berpotensi.

“Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh usahawan belia luar bandar yang berpotensi di luar sana agar dapat memanfaatkan peluang sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran RBC 2.0 sempena Karnival Usahawan Desa (KUD) di sini hari ini.

Pada majlis sama, Rubiah turut meraikan 19 usahawan luar bandar yang berjaya meraih jualan produk melebihi RM1 juta menerusi Aktiviti Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J) iaitu salah satu aktiviti sokongan di bawah RBC.

RUBIAH Wang bergambar bersama peserta KU1J pada majlis pelancaran RBC 2.0 di Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Rubiah berkata, 19 usahawan itu adalah antara 25 usahawan RBC 2022 yang berjaya meraih hasil jualan antara RM1 juta hingga RM4.6 juta selepas 12 bulan tempoh jualan.

Menurutnya, KU1J dilaksanakan melalui aktiviti bimbingan dan pementoran selama tempoh itu bersama konsultan perniagaan dan pemudah cara Richworks International Sdn. Bhd.

“Aktiviti bimbingan merangkumi beberapa modul seperti pemasaran, pematuhan, operasi, kepimpinan, pembangunan perniagaan dan aktiviti permentoran.

“Usaha ini bertujuan mempertingkatkan prestasi perniagaan dalam kalangan usahawan desa yang mencatatkan hasil jualan tahunan melebihi RM38 juta,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod jualan 25 usahawan KU1J, purata jualan bagi setiap usahawan desa adalah RM1.5 juta iaitu peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding jualan keseluruhan RM22 juta bagi tahun sebelumnya.

Rubiah berkata, aktiviti bimbingan itu bermula pada 4 Oktober 2022 sehingga 30 September 2023 dimana 62 calon disenarai pendek daripada lebih 2,000 peserta.

Sebelum Program RBC 2.0 dilaksanakan, KKDW melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melaksanakan Kajian Impak Pelaksanaan RBC pada tahun 2021 dan mendapati sekurang- kurangnya 16 orang usahawan mencapai status jutawan melalui program ini.

Sekitar 89 peratus daripada responden berjaya melahirkan sehingga 50 orang usahawan baharu selain 80 peratus daripada responden berjaya menyediakan sehingga 20 peluang pekerjaan, manakala 80 peratus responden berjaya meningkatkan jualan sehingga 30 peratus selepas menyertai RBC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya