SHAH ALAM: Sebuah premis pemprosesan makanan disyaki melepaskan efluen berbuih sehingga menyebabkan air berwarna putih dan berbau di sekitar Sungai Kecil, Kampung Rinching, Hulu Langat, semalam.
Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas menerima maklumat mengenai pencemaran di Jambatan Rinching Tengah tersebut, kira-kira pukul 11 pagi.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, semakan lanjut mendapati pembentukan buih di sungai tersebut hasil daripada water turbulence (gelora air) di kawasan parit berhampiran.Jelas beliau, hasil pensampelan menunjukkan bacaan bagi Chemical Oxygen Demand (COD) dan Biochemical Oxygen Demand (BOD) adalah tinggi manakala Surfactant (Sur) dan Nitrate Oxide (No3) pula rendah.
“LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) kemudian menuju ke kawasan perindustrian di Bandar Tasik Kesuma.
“Pemeriksaan mendapati sebuah premis pemprosesan makanan disyaki melepaskan efluen ke longkang berdasarkan kesan buih putih dan berbau seperti rebusan cendawan,” katanya hari ini.
Jelasnya, LUAS segera mengarahkan premis itu menghentikan sebarang aktiviti yang menggunakan air dan pelepasan efluen.
“Keadaan air sungai itu kemudian kembali normal dan tiada lagi kesan berwarna putih serta berbuih. Kesemua pensampelan di titik air pelepasan dalam dan luar premis itu dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan maksimum RM1 juta dan mandatori penjara tidak kurang tiga tahun jika sabit kesalahan.
“Anggaran jarak lokasi punca pencemaran itu ke Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih adalah 15 kilometer. Tindakan pantas dan bersepadu agensi penguatkuasaan negeri berjaya memastikan tiada risiko terhadap operasi mana-mana LRA setakat ini,” jelasnya. – UTUSAN