KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada individu atau mana-mana syarikat supaya tidak mengambil kesempatan dengan menyewa polis bantuan untuk tujuan menjaga aset atau harta mereka.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail berkata, tujuan lantikan pasukan itu adalah untuk menampung keperluan bagi menjaga keselamatan aset hak milik syarikat yang mengemukakan permohonan sahaja.
Menurutnya, sekiranya didapati mana-mana pihak menyediakan perkhidmatan menyewa polis bantuan kepada syarikat lain, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan sijil pelantikan polis bantuan.
“Polis bantuan ini dilatih selama dua bulan di Pusat Latihan Polis di seluruh negara untuk berkhidmat dengan syarikat yang memohon.
“Jadi, jika ada syarikat atau agensi yang tidak memohon tetapi cuba menyewa polis bantuan untuk menjadi pengawal dan sebagainya tidak dibenarkan dan kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) Kali Ke-34 sini hari ini.
Terdahulu, seramai 26 pegawai dan anggota polis bantuan menerima sijil penghargaan di atas kejayaan masing-masing dalam membantu menyelesaikan beberapa kes termasuk jenayah.
Aidi memberitahu, sehingga kini, seramai 27,000 polis bantuan yang dilantik di seluruh negara dan angka berkenaan agak sedikit daripada 60,000 perjawatan yang diluluskan secara keseluruhannya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kes salah laku membabitkan polis bantuan, Aidi berkata, setakat ini, kes salah laku dalam kalangan polis bantuan amat kecil.
“Antara kes salah laku yang dilakukan termasuk kes dadah, anggota membawa kenderaan milik syarikat, menyamar polis dan menyalahi undang-undang jalan raya.
“Bagaimanapun, kita sudah mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka ini termasuk tindakan tatatertib,” katanya. -UTUSAN