PUTRAJAYA: Kesemua ketua jabatan dan pegawai kewangan di setiap kementerian serta agensi diarahkan segera mengurangkan kebocoran dana sehingga paling minimum.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, pihaknya memandang serius Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dibentang di Parlimen semalam termasuk laporan-laporan sebelum ini dengan memastikan pihak ditegur membaiki kelemahan tersebut.
“Kita (kerajaan) bersusah payah hendak cari pendapatan negara, maka saya tahu banyak agensi Kementerian Kewangan (MoF) berusaha keras, namun kesal apabila tetap ada kebocoran mengakibatkan manfaat tidak sampai kepada rakyat.
“Masalah tersebut berhubung rapat dengan isu integriti seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang jika isu ini boleh diatasi, banyak hasil negara dapat diselamatkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Integriti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2023 bersama MoF dan agensi-agensi di sini hari ini.
Semalam, LKAN mendedahkan kerugian berjumlah RM681.71 juta dana awam daripada enam program disebabkan berlaku kegagalan pematuhan peraturan dan prosedur selepas melakukan 16 pengauditan prestasi meliputi 14 kementerian dengan nilai RM208 bilion.
Menyentuh pendedahan LKAN mengenai isu melibatkan projek hartanah oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Ahmad berkata, perkara itu akan diberikan perhatian sebagaimana isu kekurangan kutipan hasil membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini di pulau tersebut ekoran ketirisan kutipan daripada permit khas kereta.
Walau bagaimanapun kata beliau, masalah itu akhirnya berjaya dibendung menerusi beberapa tindakan tegas mahkamah yang segera diambil pihak berwajib ke atas pelaku.
LKAN mendedahkan bahawa Lada mengalami kegagalan hasil kutipan pajakan tanah melibatkan projek pembangunan hotel mewah Saint Regis dan perkampungan Tok Senik. – UTUSAN