PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui wujud perbezaan ketara dalam soal gerakan idealisme parti khususnya ketika bergelar pembangkang dan menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Menurutnya, perbezaan itu menyebabkan sebahagian golongan muda tidak lagi berminat memberi sokongan kepada parti-parti dalam kerajaan termasuk PKR.
“Ketika menjadi pembangkang, kita ada kelebihan kerana hanya perlu mengapi-apikan termasuk membangkitkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.
“Bagaimanapun, situasi berbeza apabila kita berada dalam kerajaan, malah isu itu menjadi cabaran besar yang perlu dihadapi oleh sayap-sayap parti,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di sini, hari ini.
Justeru, Rafizi mengingatkan pimpinan AMK dan Wanita Keadilan supaya terus kekal dalam perjuangan parti kerana sudah tidak ramai pimpinan PKR daripada generasi pertama kekal dalam parti.
“Sama ada dia tercicir, ‘habis gas’ awal, dia putus asa, dia kecewa dan akhirnya masuk parti lain. Sebab itu saya kembali kepada ketentuan bahawa Allah SWT itu sebenarnya adil.
“Kami yang dulu, susah untuk menggerakkan parti, tetapi senang meyakinkan parti kerana situasi masyarakat ketika itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi berkata, beliau mahu sayap AMK dan Wanita Keadilan menggerakkan idealisma lebih segar kerana PKR kini sudah berada dalam kerajaan dan bukannya lagi sebagai pembangkang.
Menurutnya, beliau mengakui ketiadaan idealisme lebih segar menyebabkan kedua-dua sayap itu sukar memenangi suara anak muda dan ia semakin menjauh.
“Itu cabaran paling besar perlu dihadapi AMK dan Wanita PKR ketika ini dimana sebahagian besar golongan muda tidak lagi memberikan sokongan.
“Jika dahulu, kesedaran politiknya datang dari rasa tidak puas hati. Justeru, hanya idealisme berupaya menguatkan azam parti untuk terus membina kekuatan, menyantuni rakyat dan terus memastikan AMK dan Wanita Keadilan terus menjadi tonggak kekuatan kepada parti.
“Bagaimanapun, idealisme sahaja tanpa ada kekuatan organisasi dan kelebihan bakat, sesuatu gerakan itu tidak akan ke mana,” katanya.
Mengambil contoh idealisme parti Pas sejak 1951, Rafizi berkata, idealisme parti itu adalah jelas, iaitu berlandaskan Islam.
“Kami melihat sokongan paling ramai (untuk Pas) memang betul, sebab itu Pas, apa-apa pun tunjukkan orang penuh satu stadium, tapi kita pernah lama dengan Pas, dua hari sebelum pilihan raya 100,000 (orang datang ceramah), (tapi) masuk pilihan raya kalah,” katanya. – UTUSAN