Kes tibi masih terkawal, rakyat usah panik - Dr. Zaliha

Kes tibi masih terkawal, rakyat usah panik – Dr. Zaliha

DR. ZALIHA Mustafa (dua dari kiri) melancarkan Pelan Tindakan Kerintangan Antimikrob Malaysia (MyAP-AMR) 2022 -2026 di Putrajaya,  hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA :  Kementerian Kesihatan mengesahkan kes tuberkulosis atau tibi masih terkawal dan rakyat diminta tidak panik.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya mengesahkan beberapa kes tibi di Cheras, Kuala Lumpur namun ia sentiasa dipantau oleh Bahagian Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan.

“Bahagian Kesihatan Awam tengah melihat isu ini dan kita tak nak perkara yang tidak benar disebarkan sebab kita tak nak nanti orang awam jadi panik.

“Tuberkulosis memang ada, cumanya ia dalam kawalan. Kita kena galakkan pesakit kalau ada apa-apa tanda tentang penyakit itu khususnya batuk berterusan terus pergi mendapatkan rawatan,” katanya dalam sidang akhbar  selepas merasmikan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob Sedunia Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Dr. Zaliha berkata, rakyat boleh mendapatkan maklumat jumlah kes tuberkulosis yang berlaku di kawasan mereka menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri juga akan mengeluarkan kenyataan perkembangan terkini penyakit tuberkulosis dalam masa terdekat.

“Antara simptom utama penyakit tuberkulosis ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah,” katanya.

Sementara itu, Dr. Zaliha dalam ucapannya berkata, pihaknya turut melancarkan Pelan Tindakan Kerintangan Antimikrob Malaysia (MyAP-AMR) 2022- 2026 yang menumpukan sektor kesihatan alam sekitar dan tumbuhan.

Menurutnya, pelan baharu itu berazam untuk menyusun Program  Antimicrobial Stewardship (AMS) pada kemudahan penjagaan kesihatan awam, swasta dan haiwan supaya lebih berjaya dan mampan.

“Tema untuk Minggu Kesedaran AMR Sedunia pada tahun ini adalah  ‘Bersama Mencegah Kerintangan Antimikrob’ yang turut menekankan keperluan kerjasama lintas sektor,” katanya.

Katanya, bagi mencapai kejayaan memerangi AMR, usaha pencegahan dan kawalan jangkitan perlu diperkukuh bukan hanya di fasiliti kesihatan tetapi dalam bidang pertanian dan premis industri makanan.

Dr. Zaliha berkata, ia juga memastikan akses lebih baik terhadal air bersih, pelaksanaan program vaksinasi, pengurusan pencemaran, penanganan sisa dan sanitasi yang betul.

 “Tidak dapat dinafikan bahawa pandemik Covid-19 yang berterusan sepanjang tempoh MyAP-AMR 2017-2021 telah memberi kesan terhadap pelaksanaan pelan tindakan tersebut. 

“Ini disebabkan oleh keperluan mendahului sumber daya, termasuk kemudahan makmal, petugas kesihatan, dan bekalan lain untuk aktiviti berkaitan Covif-19,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN