Kes penipuan umrah melonjak drastik tahun ini

Kes penipuan umrah melonjak drastik tahun ini

ROSLAN Mohammad (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd ketika Penutup Hari Umrah Malaysia di Malakat Mall, Cyberjaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mendedahkan kes penipuan umrah di seluruh negara semakin meningkat amat tinggi sepanjang tahun ini. 

Menurut Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Motac, Roslan Mohammad, angka kerugian dialami jemaah naik berbanding tahun lalu.

“Untuk rekod tahun ini sahaja setakat akhir bulan lepas, sebanyak 62 kes polis dilaporkan dengan melibatkan kerugian bernilai kira-kira RM2.1 juta,” katanya pada sidang akhbar.

Terdahulu, beliau mewakili Timbalan Menteri, Khairul Firdaus Akbar Khan merasmikan Hari Umrah Malaysia yang julung kali diadakan di kompleks beli belah Malakat Mall di sini.

Acara itu dianjurkan Fakulti Pengajian Antarabangsa, YEG Academy dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Inovatif, Suara Belia, Brainy Bunch dan gedung komersial tersebut.

Sebanyak 20 agensi umrah tempatan menyertai program tiga hari itu yang diisi dengan pelbagai aktiviti menarik bermula Jumaat lepas dan dihadiri hampir 10,000 pengunjung.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, kegiatan penipuan mula bertambah sejak sempadan negara dibuka luas dua tahun lepas susulan peralihan daripada era pandemik Covid-19.

Bahkan, industri tersebut diunjurkan kembali kepada keadaan sebelum wabak apabila seramai lebih 300,000 jemaah dari Malaysia dicatatkan mengerjakan umrah setiap tahun.

“Pada 2021, jumlah kerugian yang direkodkan hanya RM267,000 dengan enam kertas siasatan dibuka oleh pihak polis namun tahun berikutnya angka ini naik drastik,” katanya.

Sepanjang tahun lepas ujar beliau, sebanyak 127 laporan polis telah diterima di seluruh negara dengan nilai kerugian kasar yang dianggarkan mencecah kira-kira RM6.1 juta.

Angka itu tambahnya, belum termasuk lagi sejumlah 161 kes diterima Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) merekodkan sebanyak RM2.9 juta dari segi nilai tuntutan.

Sementara untuk tahun ini pula sehingga hujung bulan lepas sahaja kata beliau, tribunal berkenaan sudah menerima tuntutan bernilai RM7.09 juta yang membabitkan 355 kes.

Justeru, Roslan menasihatkan umat Islam yang ingin menunaikan ibadah itu agar lebih berwaspada dan boleh menyemak status agensi menerusi laman sesawang rasmi Motac.

Menyentuh Hari Umrah Malaysia, beliau mengalu-alukan inisiatif pihak penganjur kerana mempromosikan kesedaran kepada pengunjung agar memilih agensi bertanggungjawab.

“Berdasarkan trend angka kes penipuan direkodkan Majlis Kawal Selia Umrah yang dibentuk Motac sejak 2014, ramai mula sedar hak mereka dan lebih berhati-hati,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya