Kes dera kanak-kanak di Melaka meningkat 220 kes

Kes dera kanak-kanak di Melaka meningkat 220 kes

KALSOM Nordin bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kutipan Sumbangan Tabung Palestin oleh Wanita UMNO Melaka di Dewan UMNO Hang Tuah Jaya, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 306 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku di Melaka tahun ini, meningkat 220 kes berbanding hanya 86 kes pada 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, kesemua laporan itu diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Menurutnya, trend peningkatan sedemikian amat membimbangkan apabila majoritinya melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi tanpa lesen.

“Kebanyakan kes dera yang berlaku di negeri ini melibatkan taska dan pusat jagaan
kanak-kanak tanpa lesen manakala ada juga penderaan oleh ibu bapa berlaku di rumah.

“Baru-baru ini sebuah taska diarahkan tutup ekoran penderaan seorang kanak-kanak di Pertam. Saya tengok sendiri kanak-kanak yang didera itu di hospital amat menyedihkan.

“JKM telah mengarahkan taska itu ditutup serta-merta selepas hasil siasatan mendapati ia beroperasi tanpa lesen. JKM juga membuat gerak kerja di mana semua taska yang berlesen terus dipantau, jika ada yang tidak berlesen kita arahkan untuk ditutup,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kutipan Sumbangan Tabung Palestin oleh Wanita UMNO Melaka di Dewan UMNO Hang Tuah Jaya, Bukit Katil di sini, semalam.

Sebanyak RM116,135 berjaya dikutip dalam tempoh dua hari tabung itu dilancarkan
di enam bahagian UMNO di Melaka yang akan diserahkan kepada Kementerian Luar bagi membantu rakyat Palestin.

Tambah Kalsom, ibu bapa diseru memastikan anak masing-masing dihantar ke taska yang mempunyai lesen sah dikeluarkan JKM, selain keselamatan keadaan persekitarannya.

“Setakat ini tiada laporan melibatkan taska-taska di bawah pemantauan JKM. Tahun ini sebanyak 35 taska telah diarahkan menutup operasi serta-merta kerana beroperasi tanpa kebenaran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya