PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Menurut KPM, pihaknya mengambil perhatian laporan media mengenai kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh yang tular ketika ini.
Katanya, kes itu diambil tindakan dan kini berada dalam siasatan pihak berkuasa.
“Salah laku buli dan gangguan seksual adalah salah laku berat dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.
“Komitmen KPM dibuktikan menerusi garis panduan menangani salah laku buli dan gangguan seksual yang dilancarkan pada September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM memaklumkan, Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM.
Jslasnya, tiga saluran utama disediakan KPM bagi membolehkan orang ramai termasuk murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat laporan mengenai kes buli dan gangguan seksual iaitu menerusi talian khas Aduan Buli, emel [email protected].
“aduan buli (juga boleh dibuat) di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
“KPM turut memantau kesegeraan penyampaian maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard iaitu pada kadar 1:3:7 hari,” katanya.
KPM sentiasa berusaha memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara.
Media sebelum ini melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berpandukan hantaran yang tular di media sosial, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.
Turut ditular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku buli terbabit yang dikatakan sekadar diarah berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah, berbanding tindakan tegas seperti buang sekolah.
PIBG MCKK kemudiannya memaklumkan kes buli itu sudah selesai disiasat dan diambil tindakan oleh pihak sekolah. – UTUSAN