Kertas siasatan ugut Menteri Pendidikan diserah pada Jabatan Peguam Negara - Utusan Malaysia

Kertas siasatan ugut Menteri Pendidikan diserah pada Jabatan Peguam Negara

AYOB Khan Mydin Pitchay memakaikan Beret 69 Komando Pasukan Gerakan Khas kepada peserta kursus asas 69 Komando pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) 69 Komando ke-54 di Padang Kawad Kem Sultan Nazrin Shah Ulu Kinta di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan kertas siasatan kes ugutan jenayah oleh seorang lelaki terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada AGC selepas kertas siasatan tersebut diserahkan.

Katanya, siasatan terhadap lelaki berusia 28 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan ini kita sudah hantar ke Jabatan Peguam Negara bagi cadangan tuduh.

“Kita juga dapat arahan lanjut untuk mendapatkan laporan forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) 69 Komando ke-54 dan Penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Padang Kawad Kem Sultan Nazrin Shah Ulu Kinta, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dan Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam memuatnaik sebarang hantaran di akaun media sosial masing-masing.

“Mereka ini beranggapan tiada tindakan akan diambil dan polis juga tidak pantau sedangkan dalam kes ugutan Menteri Pendidikan ini, kita telah pun tangkap individu terlibat.

“Kita minta mereka bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial. Ada perkara yang boleh dikongsi secara terbuka, ada tempat juga untuk luah perasaan. Kita minta mereka guna media sosial untuk kebaikan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, pemilik akaun di aplikasi X berusia 28 tahun itu ditahan di Setapak minggu lalu kerana dipercayai membuat hantaran berbaur ugutan terhadap Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Lelaki terbabit telah ditahan reman selama tiga hari dan empat laporan polis diterima berhubung isu sama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya