Kerjasama awam-swasta dalam kesihatan diperkasa tahun depan

Kerjasama awam-swasta dalam kesihatan diperkasa tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bersedia memperkasakan lagi kerjasama awam dan swasta dalam sektor penjagaan kesihatan awam di seluruh negara pada tahun depan.

Jaminan tersebut disuarakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Norazman Ayob yang menegaskan usaha berkenaan memberikan faedah kepada rakyat.

“Sebenarnya kerjasama sebegini bukanlah baharu malah pernah dilakukan ketika berlaku kemuncak isu penularan wabak Covid-19 sepanjang pada 2020 dan 2021 lalu,” katanya ketika merasmikan Persidangan KPJ Healthcare Kali Ke-24 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Norazman berkata, banyak usaha akan dilaksanakan, namun isu kekangan peruntukan menjadi antara cabaran besar.

Beliau memberikan contoh bajet tahun depan untuk kementerian itu yang mungkin dilihat amat besar berbanding kementerian-kementerian lain tetapi realitinya masih belum cukup.

“Secara jujur daripada RM41.2 bilion yang disediakan dan dianggap paling besar dalam sejarah, hanya RM5 bilion dapat digunakan untuk perbelanjaan pembangunan,” jelasnya.

Peruntukan itu ujarnya, termasuk projek pembinaan dan penyelenggaraan hospital serta klinik selain pemerolehan bekalan ubat, bahan peralatan guna habis dan pelbagai vaksin.

Selebihnya pula kata beliau, sudah ditetapkan untuk bayaran emolumen tetap pegawai dan kakitangan perubatan yang bilangannya hampir cecah 300,000 orang di seluruh negara.

Justeru, pihak kementerian amat mengalu-alukan kerjasama daripada operator swasta dalam meringankan beban ditanggung premis kesihatan awam yang sesak setiap hari sebagaimana amalan ketika pandemik Covid-19, ribuan pesakit dipindahkan ke pelbagai hospital swasta.

Situasi luar biasa ketika itu jelasnya, mengakibatkan banyak pembedahan ditunda lama kerana segala sumber manusia kementerian tersebut dikerah untuk pengurusan wabak.

Katanya, antara usaha yang dirancang pada tahun depan ialah kemungkinan perkhidmatan ambulans boleh disumberluarkan kepada operator swasta selain sistem aliran maklumat pesakit luar diintegrasi secara digital daripada pendaftaran sehingga farmasi bagi mengurangkan tempoh di klinik awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya