KLANG: Perjalanan seorang kerani menuju ke tempat kerjanya bertukar tragedi apabila motosikal ditunggangnya terlanggar lubang sebelum maut digilis sebuah treler di Batu 5, Jalan Meru di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 37 tahun berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Puncak Alam ke Pelabuhan Utara.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS150R bersendirian.
Katanya, lelaki itu kemudian dipercayai memotong sebuah lori di lokasi kejadian yang turut berada di persimpangan lampu isyarat.
“Mangsa bagaimanapun melanggar lubang lalu tercampak ke atas jalan dan digilis lori tersebut. Keadaan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Mohd. Khairi, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulkanain Johari di talian 019-5597107 atau balai polis berdekatan,” katanya.
Difahamkan, pemandu lori berusia lingkungan 60-an tidak mengalami kecederaan dan sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan. – UTUSAN