Kerajaan wajar batal pendirian sokong penyelesaian dua negara

Kerajaan wajar batal pendirian sokong penyelesaian dua negara

MUHAMMAD FAUZI Asmuni pada sidang akhbar GSPP mengenai tuntutan mereka di Putrajaya.- UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) hari ini mendesak pihak kerajaan agar membatalkan pendiriannya menyokong formula penyelesaian dua negara.

Perkara itu disuarakan oleh Pengerusinya, Muhammad Fauzi Asmuni yang mengingatkan bahawa penyelesaian tersebut sebagai tidak wajar lagi dijadikan polisi luar bagi negara ini.

“Saya harap kerajaan sekarang kena ambil langkah tegas diperbetulkan balik pendirian itu selari dengan dasar luar Malaysia tidak iktiraf Israel,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini mewakili 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerah memorandum kepada pihak Wisma Putra bagi menyatakan tuntutan mereka.

Antara dikemukakan ialah desakan supaya kerajaan bertindak memansuhkan pendirian dalam isu Palestin daripada penyelesaian dua negara kepada penyelesaian satu negara.

Langkah itu selaras dengan resolusi ditetapkan oleh Kongres Palestin Sedunia di sini pada 17 Jun lalu yang ingin agar seluruh dunia membatalkan formula penyelesaian dua negara.

Rumusan tersebut diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 1947 bagi mengiktiraf serentak Israel dan Palestin sebagai dua negara berjiran yang hidup bersama.

Walau bagaimanapun bancian dilakukan ke atas penduduk Palestin dan beberapa negara Arab menunjukkan majoriti membantah penyelesaian itu sebagai helah tersirat oleh Israel.

Tinjauan dilakukan tahun lalu itu malah mendapati sebahagian besar ingin semua negara pro-Palestin kembali kepada formula penyelesaian satu negara tanpa ada Israel langsung.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, penyelesaian dua negara yang turut disokong Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bermaksud Malaysia mengiktiraf Israel tanpa disedari.

“Selama ini dasar Malaysia tegas tidak pun perakui langsung kewujudan Israel kerana ia memang negara haram tetapi sokong ke atas formula itu amat bercanggah pula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa sudah tiba masanya Malaysia kembali kepada penyelesaian satu negara, malah tidak ‘terjerat’ dengan agenda Barat melindungi Israel.

Beliau memberikan contoh apa yang berlaku terhadap tujuh negara Islam menormalisasikan hubungan dengan Israel apabila tidak berani pun ‘bersuara’ lantang dalam isu di Gaza.

Menyentuh perkara tersebut, beliau justeru mendesak pemimpin di negara terbabit agar berani memutuskan diplomatik dengan rejim Zionis jika betul mereka ikhlas dalam perjuangan.

Muhammad Fauzi namun berkata, situasi sekarang menunjukkan keadaan sebaliknya dan tindakan berdiam Liga Arab lebih memihak Israel pula cukup mengecewakan umat Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya