Kerajaan setuju lanjut cuti Deepavali pegawai awam Hindu di Sarawak

Kerajaan setuju lanjut cuti Deepavali pegawai awam Hindu di Sarawak

KERAJAAN Negeri Sarawak bersetuju memberikan cuti tanpa rekod smepena perayaan berkenaan kepada pegawai perkhidmatan awam di negeri itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberi cuti tanpa rekod sempena perayaan Hari Deepavali kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan beragama Hindu yang berkhidmat di Sarawak.

Dalam satu surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ia susulan keputuan Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju memberikan cuti tanpa rekod smepena perayaan berkenaan kepada pegawai perkhidmatan awam negeri itu beragama hindu melalui Pekeliling Perjawatan negeri Sarawak Bilangan 26 tahun 2023 bertarikh semalam.

Surat berkenaan yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed memaklumkan, sekiranya Deepavali jatuh pada hari bekerja, pegawai boleh memohon cuti tanpa rekod pada hari tersebut.

Katanya, jika hari perayaan itu jatuh pada hari Ahad, pegawai boleh memohon cuti tanpa rekod pada hari bekerja berikutnya.

“Mengambil kira Deepavali tahun ini jatuh pada Ahad 12 November, maka pegawai hindu boleh memohon cuti tanpa rekod pada Isnin (13 November) bagi menyambut Deepavali.

“Cuti tanpa rekod Deepavali bagi pegawai perkhidmatan awam Persekutuan beragama Hindu yang berkhidmat di Sarawak berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan (9 Novemver 2023),” katanya memetik surat berkenaan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan keluhan seorang doktor berketurunan India yang bertugas di Sarawak mempersoalkan sikap dwistandard kerajaan dan layanan berbeza terhadap penjawat awam dalam pemberian cuti umum.

Ia berikutan keputusan kerajaan memberikan cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali yang jatuh pada 13 November (Isnin) dibawa ke 14 November (Selasa) bagi pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu di negeri-negeri yang hari kelepasan mingguannya adalah Ahad.

Bagaimanapun, kemudahan itu dikecualikan di Sarawak kerana peruntukan cuti tanpa rekod sempena Deepavali tidak terpakai kepada negeri itu memandangkan perayaan berkenaan bukan Hari Kelepasan Am.

Menurut pegawai perubatan berkenaan, ramai di antara golongan itu berketurunan India dari semenanjung sanggup dihantar bertugas ke Sarawak untuk membantu kekurangan kakitangan dengan kebanyakannya guru, doktor dan polis.

“Kami dihantar begitu jauh dari kampung halaman untuk berkhidmat kepada Sarawak tetapi hanya sekali setahun kami menyambut perayaan Deepavali yang jatuh pada hari Ahad, mereka tidak mempunyai keihsanan untuk memberikan cuti tanpa rekod,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN