BINTULU: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap supaya isu tanah NCR di negeri berkenaan tidak dipolitikkan.
Ujarnya, setiap kali pilihan raya ada saja isu tanah ini menjadi bahan. Namun, Sarawak sentiasa bersikap profesional termasuk pembayaran pampasan tanah rakyat yang terlibat dalam projek pembangunan.
“Isu tanah NCR ini selalu dijadikan bahan setiap kali pilhan raya. Tetapi kita professional dalam politik, dan bertindak berdasarkan undang-undang.
“Ini kerana kita sedia ada undang-undang, Kanun Tanah Negeri, kalau kita gunakan tanah (rakyat), kita akan bayar kepada pemilik selagi ada dokumen khas,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena lawatan kerja ke tapak Pusat Pentadbiran Bersepadu Jepak dan Sesi Taklimat Jalan, Jambatan Sungai Kemena ke Lapangan Terbang Bintulu di sini petang tadi.
Justeru, Abang Johari beri komited bandar baharu Bintulu yang dikenali sebagai Jepak Jaya akan dibangunkan dengan infrastruktur dan kemudahan asas yang lengkap.
“Salah satu bangunan penting di sini adalah Pusat Pentadbiran yang dijangka siap pada tahun 2025.
“Kedua ialah jambatan dan juga jalan baharu ke Lapangan Terbang Bintulu dari pusat bandaraya ini. Selain itu, pusat komersial dan kemudahan asas termasuk perumahan juga akan disediakan di kawasan ini.
“Kita faham harga rumah di sini amat mahal dan untuk itu, kita akan membina rumah mampu bilik di Jepak Jaya seperti di Sungai Bedaun (Kuching) dan di Kampung Datu (Sibu),” tambahnya lagi.
Setakat ini kata Abang Johari lebih 7,000 lot rumah telah dikenal pasti dan akan dibina yang bakal memberi manfaat kepada penduduk terutamanya penduduk Bintulu dari golongan B40 dan M40.
Atas usaha itu, beliau memberi keyakinan bahawa kerajaan Sarawak akan menyuntik dana dalam penyediaan kemudahan infrastruktur dan juga deposit berjumlah RM10,000.- UTUSAN