MELAKA: Kementerian Pengangkutan bersedia membantu kerajaan negeri dalam usaha menarik sebuah syarikat besar yang ingin melabur dan berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof ada menemuinya berbincang mengenai usaha untuk menarik sebuah syarikat yang ingin beroperasi di LTAM.
“Bagi Kerajaan Persekutuan kita sangat terbuka bagaimana hendak menyokong pelaburan yang akan dibawa ke Melaka.
“Jika syarikat itu benar-benar membuat keputusan ingin melabur di Melaka, saya sendiri akan cuba membantu untuk memudahkan cara dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bot Hydroglyder yang menggunakan teknologi elektrik di Batu Berendam, hari ini.
Anthony berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan LTAM menarik minat syarikat-syarikat penerbangan untuk beroperasi, selepas operasi pesawat komersial ke Pulau Pinang ditamatkan Jun lalu manakala Pekanbaru, Indonesia pada Ogos.
Tambah Anthony, kegagalan LTAM menarik minat syarikat-syarikat penerbangan adalah disebabkan ia bergantung kepada permintaan.
Selain itu, katanya, masalah lain yang timbul ketika ini kerana banyak syarikat penerbangan menghadapi kekangan daripada segi kapasiti. – UTUSAN