KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memuktamadkan keputusan sama ada menyertai Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) selewat-lewatnya pada Rabu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia kerana ketika ini Malaysia sedang berkoordinasi dengan beberapa negara lain yang turut sama terlibat menyertai forum itu.
Kata beliau, keputusan sama ada Malaysia akan menyertainya akan diumumkan selepas koordinasi yang dilakukan selesai dan diputuskan.
“Saya sedang berkoordinasi dengan semua negara yang terbabit dan setakat ini kebanyakan (negara) hadir. Jadi, saya akan semak perkara ini dalam masa satu atau dua hari,” katanya kepada media selepas melancarkan Ekspo Digital Malaysia 2023 (MDX2023) Grand Finale di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching.
APEC merupakan sebuah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989, ia membantu semua negara terlibat memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia Pasifik.
Persidangan yang berlangsung di San Francisco itu akan bermula pada 11 hingga 17 November ini.
Selain Malaysia, APEC turut dianggotai oleh Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, transformasi digital adalah strategi utama kerajaan untuk memastikan Malaysia menjadi sebagai sebuah negara yang berjaya.
Jelasnya, ekonomi digital merupakan antara tonggak ekonomi utama Malaysia pada masa kini yang mana setakat ini ia berjaya menyumbang pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekitar 23.2 peratus.
“Kita mengunjurkan angka ini akan melonjak kepada 25.5 peratus menjelang 2025,” katanya.
Tambahnya, ekonomi digital berjaya menjana sebanyak AS$15.7 bilion (RM73.2 juta) dalam pelaburan bagi suku tahun ketiga 2022, ia sekali gus memperkukuh statusnya sebagai sektor paling pesat berkembang ketika ini. – UTUSAN