Keputusan rayuan Isa Samad ditangguhkan 31 Januari 2024

Keputusan rayuan Isa Samad ditangguhkan 31 Januari 2024

MOHD. ISA ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 31 Januari tahun depan bagi memutuskan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan tarikh itu selepas prosiding sebutan rayuan berkenaan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Huda Humaira Idris.

Menurutnya, pada tarikh itu Mohd. Isa selaku perayu akan hadir ke prosiding yang dibuat secara fizikal bersama peguamnya.

“Kami jangka notis baharu dikeluarkan mahkamah berhubung perkara ini,” katanya selepas dihubungi media, sejurus selesai prosiding yang diadakan secara dalam talian.

Semalam, pihak media dimaklumkan pada saat-saat akhir berhubung penangguhan keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda itu, namun tiada alasan diberikan.

Keputusan itu sepatutnya diumumkan hari ini oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah.

Dalam rayuan, bekas pemimpin UMNO itu diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin manakala pendakwaan sebagai responden oleh Afzainizam.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya