Keperluan AADK seiring pindaan Akta Penagih Dadah

Keperluan AADK seiring pindaan Akta Penagih Dadah

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyampaikan Anugerah Ketua Pengarah kepada Normariza Omar pada Majlis Pentauliahan Program Persijilan AADK Kali Ke-2 di Pusat Latihan AADK di Sungai Petani. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan bersikap lepas tangan terhadap keperluan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sekiranya Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dipinda kelak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan sentiasa memastikan aspek logistik di AADK, perjawatan dan keperluan-keperluan utama lain seiring dengan pindaan akta tersebut.

Malah, beliau berkata, AADK sendiri ketika ini menyambut baik cadangan meminda akta tersebut yang pada masa sama menandakan tahap siap siaga agensi itu dalam melaksanakan sebarang perubahan yang akan dibuat.

“Tidak bermaksud apabila kita pinda di Parlimen dan kemudian diwartakan ketika AADK sudah berada dalam keadaan bersedia, kerajaan lepas tangan tanpa sokongan tambahan. Itu tidak akan berlaku malah kita akan terus mendokong sesuai dengan pindaan yang akan dibuat.

“Kita ada sejumlah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), ada anggota atau staf yang terlatih kemudian keperluan sokongan logisitik dan sebagainya yang mana perkara itu akan sentiasa diberi tumpuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pentauliahan Program Pensijilan AADK (PPA) Kali Ke-2 2023 di Pusat Latihan AADK Sungai Petani, di sini hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi memberi peluang kedua buat penagih mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke dalam penjara.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, peranan komuniti termasuk ahli keluarga penagih amat penting di sebalik usaha kerajaan memerangi penyalahgunaan dadah termasuk dalam meminda akta berkaitan.

“Kerajaan boleh pinda Akta Penagih Dadah, AADK sesuai dengan tugas hakiki tapi di luar sana juga ada komponen penglibatan pemegang taruh yang penting iaitu bukan sahaja keluarga yang ahlinya terlibat masalah dadah tapi komuniti secara keseluruhannya.

“Itu semua adalah ramuan untuk memastikan apabila kita pinda akta ini, AADK akan melaksanakannya dan kita ada pelatih yang akan diuruskan tetapi sokongan masyarakat juga amat penting,” katanya.

Ketika ditanya penglibatan pihak majikan dalam menggaji banduan termasuk pesalah dadah untuk memiliki pekerjaan selepas dibebaskan atau ketika menjalani perintah parol, Saifuddin berkata, kolaborasi bersama lebih 300 syarikat kekal berterusan sehingga kini.

“Bukti kejayaan program ini sangat jelas apabila dalam kalangan penghuni penjara yang melalui jalur ini iaitu nisbah setiap 800 individu yang dibebaskan cuma 0.3 peratus atau seorang yang mengulangi (penagihan dadah). Saya percaya AADK juga mampu menguruskan program susulan seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara ketika ini,” katanya.

Sementara itu, seramai 385 pegawai AADK menerima Sijil Amalan Pendidikan Pencegahan (CPE), Sijil Amalan Rawatan dan Pemulihan (CPP) serta Sijil Amalan Penguatkuasaan (CEP) untuk tiga perkhidmatan teras iaitu Rawatan dan Pemulihan, Pendidikan Pencegahan dan Penguatkuasaan Antidadah.

PPA yang mula diperkenal pada 2021 memberi pendedahan kepada pegawai-pegawai AADK dengan pengetahuan, kemahiran komprehensif dan berasaskan pembuktian sebagai pelengkap kepada perkhidmatan yang wibawa serta profesional. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN