Kepakaran bina bot elektrik boleh dimanfaatkan pulau peranginan

Kepakaran bina bot elektrik boleh dimanfaatkan pulau peranginan

ANTHONY Loke Siew Fook diberi penerangan mengenai operasi bot prototaip Hydroglyder selepas pelancarannya di Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Malaysia mempunyai kepakaran dalam pembuatan bot Hydroglyder berkuasa elektrik yang pertama di negara ini diusahakan syarikat tempatan berpangkalan di Batu Berendam di sini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun Hydroglyder dibina khusus untuk industri maritim Singapura, namun ia mewakili peluang besar bagi industri maritim tempatan diterokai dalam penyelesaian teknologi hijau.

Menurutnya, prototaip bot itu direka bentuk bagi mengangkut kru pelabuhan di Singapura tetapi pada masa depan mampu dimanfaatkan pasaran tempatan.

Beliau berkata, ia juga boleh digunakan mengangkut penumpang khususnya di beberapa pulau peranginan seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan sebagainya pada masa depan.

“Sebenarnya, Malaysia sudah ada kepakaran daripada syarikat tempatan terutama daripada segi reka bentuk dan kejuruteraan membina bot elektrik kerana ini satu inovasi yang cukup baik merendahkan penggunaan karbon.

“Saya berbangga kerana Malaysia dipilih untuk pemasangan dan pembinaan prototaip Hydroglyder menunjukkan keupayaan negara untuk menyampaikan projek kejuruteraan bertaraf dunia dan berteknologi maju.

“Ini sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dengan membangunkan tenaga kerja mahir, memupuk persekitaran perniagaan yang kondusif dan memudahkan perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bot Hydroglyder di Batu Berendam hari ini.

Tambah Anthony, usaha inovasi syarikat tempatan, Yinson GreenTech dan CTruk Boats Shipyard bertujuan membangunkan teknologi termaju dan mampan untuk masa depan karbon sifar bersih.

Menurutnya, menjelang 2050 peraturan antarabangsa menetapkan bahawa, kenderaan tidak lagi boleh melepaskan karbon dan menggunakan bahan bakar lebih mampan.

“Saya menggalakkan lebih banyak dialog dan perkongsian dalam sektor maritim kerana saya membayangkan sistem pengangkutan bersepadu, cekap, selamat dan mampan di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya