CYBERJAYA: Umat Islam di negara ini diseru terus memulaukan produk antarabangsa pro-Israel dengan mengalihkan sokongan kepada jenama keluaran bisnes Muslim sendiri.
Demikian saranan pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim sebagai tindak balas ke atas kezaliman rejim Zionis kepada penduduk Palestin dengan melancarkan kempen Buy Muslim First (BMF) Global .yang diperluaskan ke seluruh dunia.
“Sebelum ini ia hanya terhad dalam Malaysia dan ia sudah berjaya, namun kita mahu juga kesedaran itu dikembangkan ke peringkat sejagat pula,” katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan Pergerakan BMF Global dan perarakan March 4Gaza dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).
BMF pada asalnya dilancarkan akhir 2018 lalu oleh Gerakan Pembela Ummah dan disokong ramai tokoh agama di negara ini bagi memperkasakan ekonomi umat Islam.
Mohd. Fadzil berkata, tindakan boikot akan lebih berkesan jika disusuli peralihan sokongan pengguna itu kepada produk alternatif keluaran Muslim sendiri.
Beliau memberikan contoh senario di Turkiye apabila semua kedai runcit, pasar awam dan gedung besar di seluruh negara itu dipenuhi lebih 90 peratus jenama milik Islam tempatan.
Kempen BMF Global dilancarkan itu juga kata Mohd. Fadzil, selaras dengan misi gerakan antarabangsa pro-Palestin yang dikenali sebagai Boycott, Divestment, Sanctions (BDS).
Organisasi sejagat ditubuhkan pada 2005 oleh warga Palestin sendiri, Omar Barghouti itu mengambil model kempen anti-Apartheid di Afrika Selatan antara 1948 sehingga 1990-an.
“Sudah tiba masanya kita mula berani guna kuasa ekonomi Muslim sebagai pengguna dan bangkit melindungi kepentingan umat Islam yang teruk ditindas di Palestin,” kata beliau.
Kejayaan kempen BMF sebelum ini tambahnya, malah dapat dilihat daripada Malakat Mall sendiri dibuka pada 2020 lalu dan mendapat sokongan KoPPIM dengan dana RM100 juta. – UTUSAN