Kemenangan calon BN di Kemaman penting imbangi kuasa - Utusan Malaysia

Kemenangan calon BN di Kemaman penting imbangi kuasa

JOHARI Abdul Ghani (kanan) beramah mesra bersama jentera BN PRK Parlimen Kemaman di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai di Kemaman, semalam. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pengundi di Parlimen Kemaman diminta memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk membawa perubahan dan mengetengahkan isu-isu kritikal di Kemaman dan negeri ini di Parlimen.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah tokoh terbaik yang ditampilkan BN untuk mengimbangi kuasa dalam memastikan suara rakyat dapat dibangkitkan dan diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kemenangan Raja Mohamed Affandi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini penting memandangkan kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri ini dimenangi Pas dan Bersatu  dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, selain mereka menawan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Malah, menurutnya, berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki calon BN itu, khidmat beliau juga  diperlukan di negara ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

“Bagilah satu (kemenangan) kepada Raja Mohamed Affandi untuk bersama-sama orang Kemaman. Orang Terengganu juga akan dapat manfaat, ada wakil untuk Kerajaan Perpaduan  untuk sama-sama membantu masyarakat di Terengganu,” katanya ketika program turun padang bertemu pengundi di PRK Kemaman di Chukai di sini, hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, Raja Mohamed Affandi juga boleh bekerjasama dengan Ahli Parlimen daripada Kerajaan Perpaduan dari negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Kedah untuk berkongsi isu-isu yang ingin diketengahkan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini, tiada wakil Kerajaan Perpaduan dari Terengganu ketika isu-isu tertentu dibawa di Parlimen.

“Kalau kita dapat (menang) bagus, kita sama-sama berkongsi naikkan isu ini dalam Parlimen supaya apabila ada Bajet yang dibentangkan tiap-tiap tahun, jadi kita boleh bawa masalah-masalah dalam kawasan dan negeri ini,” ujarnya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dan  Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pilihan raya tersebut diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan penyandangnya, Che Alias Abd. Hamid pada September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya