PARIT: Keluarga empat beradik yang ditinggalkan tanpa jagaan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah semalam, menafikan dakwaan bahawa mereka menghalau kanak-kanak itu.
Seorang ahli keluarga dikenali sebagai Ismail, 30, berkata, dakwaan itu tidak benar sebaliknya empat beradik tersebut dibawa keluar dari rumah oleh bapa mereka sendiri.
Katanya, lelaki itu ada memberitahu keluarga yang dia mahu menghantar anak-anaknya itu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.
“Kami tidak halau, nenek kanak-kanak itu pun tidak halau mereka, yang bawa keluar kanak-kanak itu dari rumah ini adalah bapa mereka sendiri.
“Lagipun, mereka budak-budak, tak akan kami sampai hati pula mahu menghalau mereka. Sepanjang mereka tinggal di sini pun, kami jaga dan sediakan makan minum,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kuchai, Bota di sini hari ini.
Menurutnya, keempat-empat beradik itu sebelum ini tinggal di Changkat Lada di Seberang Perak dan dihantar ke rumah nenek mereka di Kampung Kuchai pada 4 November lalu untuk dijaga sementara oleh bapa kanak-kanak itu.
Katanya, kanak-kanak itu dihantar oleh seorang wanita yang mendakwa sebagai penjaga mereka.
“Apa yang saya tahu, wanita tersebut adik angkat kepada ibu kanak-kanak itu. Dia tinggalkan empat beradik itu untuk dijaga bapa mereka kononnya mahu dia bertanggungjawab.
“Tapi, lelaki itu pun bukannya tinggal di sini, dia pun menumpang. Disebabkan ada anak-anaknya di sini, maka dia terpaksa jagalah,” katanya.
Tambahnya, mereka sekeluarga pernah melaporkan keadaan empat beradik yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Berikutan itu katanya, pihak JKM telah menghubungi ibu empat beradik tersebut supaya dia mengambil semula anaknya namun wanita tersebut sering memberi pelbagai alasan.
“Dia banyak kali cakap mahu datang (ambil anak) tapi kemudiannya minta tempoh. Banyak kali dia berdolak-dalih seolah-olah tidak mahu anak-anak ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail meminta orang ramai agar berhenti daripada membuat tuduhan berkaitan empat beradik itu yang kononnya dihalau keluar dari rumah oleh nenek mereka.
“Bagi orang tua yang sudah berusia, sudah tentu dia sedih apabila dituduh macam-macam. Jadi tolong hentikan, kami tidak sekejam itu untuk aniaya kanak-kanak.
“Sejak semalam pun, kami cuba dapatkan bapa dan ibu kanak-kanak itu untuk mengetahui keadaan sebenar, tetapi sampai sekarang mereka tidak dapat dikesan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan ditinggalkan seorang wanita tidak dikenali di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah selepas mendakwa dihalau dari kediaman nenek di Bota.
Kejadian sekitar jam 10.50 pagi itu membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing 3 tahun dan 10 bulan. – UTUSAN