KUALA TERENGGANU: Ahli keluarga mangsa bunuh di Batu 23, Jalan Kuala Berang dekat Hulu Terengganu, awal pagi tadi berharap pelaku diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.
Salah seorang adik mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian itu sukar diterima apatah lagi mengenangkan nasib menimpa mangsa ketika kejadian pada pukul 3 pagi itu.
Wanita itu berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan kakaknya itu adalah ketika percutian keluarga di Thailand kira-kira dua minggu lalu sebelum dikejutkan berita mengenainya hari ini.
“Ketika itu, arwah seperti biasa kelihatan ceria bersama saya dan ahli keluarga yang lain malah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Saya hanya menerima berita sedih ini setelah anak saudara iaitu anak arwah membuat panggilan telefon 9 pagi tadi memaklumkan ibunya meninggal dunia.
“Kehilangannya cukup memberi kesan lebih-lebih lagi mendapat tahu dia dibunuh dan kami berharap pelaku dibawa ke muka pengadilan,” katanya ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, hari ini.
Jelas wanita itu, jenazah kakaknya dijangka dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Kenangan, Kampung Baharu Kerteh sebaik selesai proses bedah siasat.
Media hari ini melaporkan penemuan mayat seorang usahawan tudung dan baju kurung berusia 65 tahun di dalam longkang dengan 15 kesan tikaman di bahagian badan selepas dilanggar rakan perniagaannya.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata, motif kejadian dipercayai berpunca ketidakpuasan hati berhubung agihan hasil keuntungan perniagaan antara kedua mereka.
Rakan kongsi yang merupakan suspek wanita tempatan berusia 35 tahun itu kemudian berjaya diberkas di rumahnya di Kampung Wakaf Tapai, Marang sekitar pukul 11 pagi tadi. – UTUSAN