Kelantan nafi baru sekarang pertahan undang-undang syariah

Kelantan nafi baru sekarang pertahan undang-undang syariah

MOHD. ASRI MAT DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan tidak timbul soal baru sekarang pihaknya mahu mempertahankan undang-undang syariah di negeri ini kerana usaha tersebut sudah dilaksanakan secara berterusan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd. Asri Mat Daud berkata, perkara berkaitan undang-undang syariah dan hududullah sentiasa menjadi perbincangan saban tahun termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Menurutnya, pada sidang DUN Kelantan ada penggubalan dan pindaan undang-undang bagi menambahbaik serta mempercantikkan undang-undang syariah di negeri ini.

“Contohnya Kanun Jenayah Syariah (2) Negeri Kelantan 1990/93, kita pinda kepada 2015 untuk menambah baik dan mencantikkan undang-undang syariah ini. Begitu juga undang-undang ta’zir yang dicabar di mahkamah sekarang ini.

“Ia diwartakan dan mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V serta dilaksanakan secara rasmi pada 1 November 2021. Jadi tidak timbul soal baru sekarang nak pertahan syariah,” katanya ketika ditemui semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu mendakwa, cabaran terhadap 20 peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 itu dibuat secara diam-diam menyebabkan berlaku kelewatan dalam tindakan dari pihak kerajaan negeri.

“Undang-undang syariah itu sudah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu tetapi tiba-tiba dicabar di mahkamah sivil dan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa dalam bidang jenayah sivil.

“Kerana itu berlaku kelewatan di pihak kerajaan negeri. Boleh dikatakan petisyen berkenaan difailkan secara ‘underground’, tahu-tahu sudah dibuat sebutan di mahkamah. Jadi tidak timbul soal baru sekarang mahu pertahan undang-undang syariah,” ujarnya.

Mohd. Asri memberitahu, kerajaan negeri juga mengambil langkah sepatutnya dalam menghadapi cabaran itu mengikut kaedah-kaedah dan lunas undang-undang serta memainkan peranan sepertimana dibenarkan oleh mahkamah.

“Kerajaan negeri memainkan peranan sebagai pencelah dan memanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) serta beberapa pihak lain untuk memainkan peranan sama bagi menyatakan hak-hak kita.

“Itu sahaja peranan yang boleh kita mainkan dalam kes ini kerana kita tidak boleh mengganggu kes-kes yang sedang berjalan di mahkamah. Cuma sekarang harapan kita adalah agar rakyat bersolidariti dan bersama-sama menjayakan Himpunan Munajat Enakmen Syariah di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada 18 November ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya