Kelantan FC masih ada masa sertai Liga Super 2024/2025

Kelantan FC masih ada masa sertai Liga Super 2024/2025

PEMBERIAN lesen kebangsaan kepada kelab dimiliki Norizam Tukiman untuk beraksi dalam Liga Super musim 2024/2025 akan ditentukan pada bulan hadapan. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib Kelantan FC diberikan Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 akan ditentukan pada bulan hadapan.

Pemberian lesen kepada kelab dimiliki Norizam Tukiman itu ditangguhkan kerana masih memiliki tunggakan gaji dalam deklarasi 31 Ogos yang diserahkan kepada First Instance Body’ (FIB).

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif berkata, FIB telah mengarahkan Kelantan FC untuk menyelesaikan bayaran tunggakan atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada 15 November 2023.

Namun katanya, setelah tarikh akhir itu, pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran ataupun persetujuan bersama permain dan pegawai, sebaliknya hanya menerima rayuan lanjutan masa daripada Kelantan FC.

“Keputusan lesen bagi Kelantan FC ditangguhkan sehingga Disember ini kerana biarpun tidak memiliki rekod tunggakan gaji pemain dan pegawai pada 30 Jun, namun didapati mereka memiliki tunggakan gaji di dalam deklarasi 31 Ogos.

“Hukuman pertama yang dikenakan kepada Kelantan FC adalah denda RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa yang ditetapkan. Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 November ini untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab.

“Sekiranya Kelantan FC menyelesaikan langkah pertama, Kelantan FC masih perlu menyelesaikan langkah kedua untuk menerima Lesen Kebangsaan. Namun, jika gagal di peringkat langkah pertama, Kelantan FC secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024/2025.

“FIB mengambil keputusan untuk memberikan hukuman kedua kepada Kelantan FC dengan sekatan perpindahan MFL sehingga semua kes tempatan dan asing diselesaikan sepenuhnya.

“Seterusnya, untuk langkah kedua, Kelantan FC perlu menghantar surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 beserta penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Menurut Sheikh Mohd. Nasir, kes Kelantan FC tidak sama dengan Serawak United dan Melaka United kerana The Red Warriors mengikuti semua proses yang diperlukan oleh FIB untuk permohonan Lesen Kebangsaan.

Terdahulu semalam, FIB mengumumkan 10 kelab berjaya mendapat Lesen Kebangsaan manakala tiga lagi diberikan Lesen Kebangsaan beserta hukuman menyaksikan mereka layak bertanding dalam saingan Liga Super 2024-2025.

Bagi musim 2024-2025, 10 kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC.

Tiga kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan berserta hukuman adalah Kuala Lumpur City FC, Kelantan United FC dan Sabah FC dengan ketiga-tiga kelab tersebut didenda sebanyak RM20,000 atas kesalahan melakukan deklarasi yang salah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya