Kekangan sudut perundangan untuk bawa pulang Sirul -KPN

Kekangan sudut perundangan untuk bawa pulang Sirul -KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar akan menghadapi kekangan melibatkan isu perundangan negara berikutan perbezaan hukuman mandatori antara Australia dan Malaysia. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, walaupun Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi serta perjanjian bantuan bersama dalam hal jenayah atau mutual legal assistance (MLA) dengan beberapa negara lain termasuk Australia, namun, hukuman mati dari negara ini yang dijatuhkan terhadap Sirul Azhar kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu menjadi masalah utama bagi melaksanakan proses tersebut.

Beliau berkata, pihaknya perlu melihat kepada peruntukan hukuman (dual criminalities) antara Malaysia dan Australia. 

“Bagaimanapun, isu ini (kes Sirul Azhar) masalahnya di sana, hukuman mati tiada manakala kita di Malaysia ada hukuman itu. 

“Hukuman mati di sini yang dimansuhkan mandatori sahaja, contohnya hukuman antara penjara sepanjang hayat atau boleh jadi penjara 20 tahun. 

“Disebabkan itu yang kita lihat dahulu pihak kerajaan Australia tidak akan memberikan kerjasama kepada kita sekiranya hukuman mati ke atas Sirul ini masih lagi berkuat kuasa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, apabila ditanya sama ada terdapat kemungkinan pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa Australia berkaitan proses ekstradisi Sirul Azhar, Razarudin berkata, beliau percaya pihak kerajaan sedang berusaha ke arah itu. 

“Kemungkinan melibatkan Peguam Negara (AG) kedua-dua negara,” katanya. 

Terdahulu, laporan media menyatakan pihak polis akan berbincang dengan pihak yang berkaitan termasuk Peguam Negara dan mahkamah di negara ini bagi membuat keputusan membawa pulang Sirul Azhar.

Kelmarin, media melaporkan Sirul Azhar, 52, yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006, dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia pada 11 November lalu. 

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herarld, melaporkan Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.

Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Difahamkan, susulan keputusan itu, seramai 92 orang dan kebanyakannya pelarian termasuk beberapa orang lain yang didapati bersalah atas jenayah kekerasan dibebaskan dan dibenarkan tinggal di Australia di bawah syarat khas.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh Altantuya.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan mengekalkan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia. Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Dia kemudiannya ditahan pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya