Kekal jual Menu Rahmah walaupun kos meningkat

Kekal jual Menu Rahmah walaupun kos meningkat

SIPON SAWAB (kanan) melayan pelanggan yang datang ke Kedai Perpaduan di Kampung Rimba Terjun, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Walaupun mengalami peningkatan kos ekoran kenaikan harga bahan mentah, namun Kedai Perpaduan Pak Karim masih meneruskan Menu Rahmah dengan menawarkan makanan tengah hari pada harga RM6 termasuk minuman.

Kedai yang beroperasi di Taman Rimba Terjun dekat sini lebih sedekad lalu itu kini diuruskan anaknya, Maslizan A. Karim dan suaminya, Sipon Sawab.

Menurut Sipon, menu yang diperkenalkan termasuk nasi putih, sayur, ayam atau ikan dan minuman mula dijual pada 2013, walaupun ketika itu Menu Rahmah belum diperkenalkan.

Katanya, ketika harga ayam mencecah RM9.40 sekilogram daripada pembekal, dia tetap meneruskan Jualan Rahmah bagi tidak menghampakan pelanggan yang datang.

“Insya-Allah saya akan meneruskan Jualan Rahmah ini walaupun hanya mendapat untung 50 sen, tetapi jika ada ramai pelanggan yang datang, tentu ada rezeki untuk kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Kelmarin Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan bermula esok, namun bantuan masih disalurkan bagi telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.

Sipon memberitahu, setiap hari sebanyak 30 hingga 40 ekor ayam dan 30 kilogram (kg) beras digunakan untuk jualan di kedai yang beroperasi bermula pukul 10.30 pagi.

“Alhamdulillah, jualan biasanya akan habis pada pukul 2 petang yang dibeli oleh para pelanggan yang melalui Jalan Pontian-Kukup serta pekerja kilang di hadapan kedai kami ini,” katanya sambil memberitahu pihaknya menawarkan ebih 15 menu berasaskan ayam, ikan dan sayur-sayuran.

Dia hanya meneruskan perniagaan yang telah diusahakan oleh bapa mentuanya, A. Karim Belohik, 76, yang menjual pelbagai jenis makanan dengan harga rendah juga sebelum ini.

“Saya dan isteri serta anak-anak menyambung legasi yang dimulakan bapa mentua bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah mendapatkan makanan berdasarkan kemampuan mereka,” katanya sambil memberitahu turut menjual hidangan sarapan seperti nasi lemak, mi goreng dan lontong.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya