PETALING JAYA: Kedutaan Palestin di Malaysia menafikan meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk memberi sumbangan kepada rakyatnya melalui pihak kedutaan.
Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, pihaknya tidak pernah meminta sumbangan kepada Palestin melalui kedutaan, sebaliknya semua aktiviti mengumpul dana hendaklah dilaksanakan melalui pemantauan dan kawalan pihak berkuasa Malaysia.
“Bagaimanapun, sebagai mematuhi arahan Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah, kedutaan sentiasa bersedia dan memberikan kerjasama melalui saluran diplomatik iaitu Kementerian Luar Negeri Malaysia, Kedutaan Malaysia di Jordan dan Mesir serta akaun bank milik Bulan Sabit Merah Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perkara itu penting untuk diperjelas kepada semua pihak khususnya rakyat Malaysia.
“Palestin berada di bawah pendudukan Israel. Keseluruhan rakyat Palestin, sempadan udara, laut dan darat di bawah kawalan pihak berkuasa Israel.
“Jadi bagi memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Palestin, penyelarasan hendaklah dibuat melalui negara Mesir dan Jordan.
“Barangan yang mahu dibawa masuk ke Gaza hendaklah melalui pihak berkuasa Mesir manakala barangan dihantar ke Tebing Barat dan Baitulmaqdis mesti masuk melalui pihak berkuasa Jordan,” katanya.
Dalam itu, Walid berkata, sebagai wakil kerajaan dan rakyat Palestin, pihak kedutaan menghargai sokongan Kerajaan Malaysia, parti-parti politik dan rakyatnya terhadap perjuangan Palestin sejak beberapa dekad yang penuh pengorbanan serta cabaran.
“Malaysia sekali lagi terbukti sebagai penyokong dan pembela terkuat perjuangan Palestin,” katanya. – UTUSAN