DENGKIL: Menyedari kawasan kebunnya yang kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat, seorang pengusaha cili memilih beralih kepada tanaman timun bagi mengurangkan risiko buah rosak.
Ahmad Irham Mohd. Noor, 41, berkata, dia beralih kepada tanaman itu sejak September lalu selepas empat tahun mengusahakan cili di Kampung Sri Tanjung di sini.
Katanya, kebunnya sekali lagi dinaiki air petang kelmarin akibat hujan lebat sejak malam Sabtu lalu selain limpahan air Sungai Langat.
“Air mula masuk ke kawasan kebun sekitar pukul 3 petang. Ketika itu saya baru hari pertama mengutip hasil timun.
“Alhamdulillah, banjir kali ini tidak seteruk akhir tahun 2021 dan 2022 yang mana ketika itu semua tanaman cili rosak akibat dua hari ditenggelami air.
“Selepas tiga kali kebun dinaiki air, saya terpaksa beralih kepada tanaman timun kerana ia kurang risiko untuk rosak jika ditenggelami air,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ahmad Irham berkata, Kampung Sri Tanjung kerap dinaiki air sejak 2020 disebabkan limpahan air Sungai Langat selain kedudukannya yang agak rendah.
Dia berharap cuaca bertambah baik selepas ini sekali gus membolehkannya menyelesaikan kutipan hasil pertama tanaman timunnya.
“Saya beralih kepada tanaman timun kerana tidak sanggup lagi menanggung rugi besar jika kebun dinaiki air setiap kali hujan lebat,” katanya.
Sebelum ini, dia berdepan kerugian lebih RM100,000 selepas kebun cilinya ditenggelami air sebanyak dua kali dalam tempoh 11 bulan, masing-masing pada akhir 2021 dan akhir tahun 2022.
Ketika itu, beberapa peralatan termasuk sistem fertigasi, enjin air, baja dan kelengkapan lain musnah dalam kejadian banjir itu. – UTUSAN