IBARAT menanti kesudahan yang muktamad, anak seniman hebat, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin membuka cerita di sebalik perjuangannya selama ini. Diam tidak bererti kalah, lantang tidak bermaksud menang.
Anak keduanya, Hang Tuah cuma mahu menjernihkan ‘kekotoran’ yang mungkin ada dalam pemikiran segelintir kita.
Selama ini, niatnya dikatakan disalah anggap. Langkahnya dikatakan sekadar mahu menangguk di air yang keruh.
Tetapi apa yang penting bagi Hang Tuah, dia mahu menyangkal setiap dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan dengan bukti serta saksi yang dia sendiri peroleh. Bukan mendabik dada, tetapi baginya kebenaran harus diutamakan. Jawablah mendapatkan Hang Tuah!
Seperti masih tiada jalan penamat, mengapa sekali lagi isu ini timbul dan mengapa Hang Tuah berkeras dengan keputusan untuk mengheret isu harta ke muka pengadilan?
Kes tersebut sebenarnya belum selesai. Kemenangan pertama berpihak kepada plaintif (Hang Tuah dan Jeffry Jins) tetapi apabila dibawa ke Mahkamah Rayuan, pihak defendan telah menang.
Kini kes ini dibicarakan semula di Mahkamah Rayuan dengan hakim berbeza. Saya mendapati banyak fakta yang tidak benar yang telah dilaporkan oleh media. Dengan pendedahan ini dan menerusi video yang dimuat naik di Youtube, masyarakat dapat buka mata dan nilai sendiri.
Apakah yang Hang Tuah cuba dedahkan? Bukankah itu sudah menjadi bahan bukti dan dibicarakan dalam mahkamah?
Benar, tetapi bagi saya ini adalah platform untuk masyarakat tahu apa yang berlaku dari sudut pandang saya, anak kedua Allahyarham.
Ada banyak perkara yang berlaku berkaitan harta peninggalan Allahyarham tanpa pengetahuan saya dan Jeffry.
Saya mengesyaki ada yang tidak kena telah berlaku antaranya lot tanah tapak Studio Panca Delima dijual pada 2015.
Bukan itu sahaja plat kereta bernombor pendaftaran eksklusif B6 yang begitu disayangi arwah turut dijual tanpa pengetahuan kami.
Bermula dari situ, kami sepakat membawa hal ini ke muka pengadilan. Tontonlah video yang dimuat naik dan anda akan dapat melihat sendiri buktibukti yang telah saya serta pihak peguam dapatkan.
Bagaimana Hang Tuah terdetik untuk membangkitkan isu tapak Studio Panca Delima dan penjualan nombor plat tersebut?
Banyak keraguan yang telah saya dapati berhubung isu penjualan itu termasuklah tandatangan Allahyarham yang dikatakan bersetuju untuk meneruskan tindakan itu.
Musykil juga saya. Dalam pada sedang sakit Alzheimer bermula 2011, dia masih boleh berfikir dengan waras untuk menjual tanah dan nombor plat kesayangannya pada 2013.
Jadi, itu semua menimbulkan keraguan saya dan Jeffri. Cuma Jeffri tidak mempunyai sumber kewangan yang kuat, tambahan pula dia menetap di luar Kuala Lumpur.
Saya ambil alih untuk memperjuangkan hak kami. Itu yang orang tak faham dan tuduh saya macam-macam.
Apabila Hang Tuah lantang bersuara berkaitan isu ini, ada juga tohmahan yang mengatakan ini semua berkaitan perebutan harta Allahyarham. Niat disalah anggap, apa komen Hang Tuah?
Inilah tujuan sebenar saya tampil mendedahkan apa yang digenggam selama ini. Supaya tiada lagi orang yang menuduh bukan-bukan terhadap saya.
Ramai yang tidak faham, banyak fakta diputar belit. Kronologi sebenar ada di dalam video. Malah saya kepilkan sekali penafian dan jawapan terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan pihak plaintif. Itu sahaja tujuan saya. Bukan soal harta tetapi keadilan dan kebenaran.
Apa yang Hang Tuah harapkan seusainya kes ini di Mahkamah Rayuan kelak?
Saya berharap dengan keputusan mahkamah itu kelak, semua akan menerima secara terbuka. Tiada lagi berbalas kutukan.
Semua isu berbangkit boleh diselesaikan secara aman dan tenang. Tetapi apa yang paling penting adalah harta-harta peninggalan Allahyarham dapat dibahagikan kepada mereka yang berhak, mengikut hukum faraid.