TUGU Peringatan Negara atau lebih dikenali sebagai Tugu Negara, monumen kebanggaan negara terletak di tengah-tengah ibu kota, di Taman Botani Perdana.
Monumen perajurit bersadur gangsa itu merupakan simbolik perjuangan askar melawan penjajah yang dibina pada 1966 lalu.
Monumen gah ini bagaimanapun pernah musnah akibat satu letupan bom angkara perbuatan khianat pengganas komunis dalam insiden berlaku pada pukul 5 pagi, 26 Ogos 1975 lalu.
Perbuatan khianat itu dipercayai dilakukan empat ejen Barisan Pembebasan Malaya (MNLF) termasuk seorang wanita.
Letupan itu bukan sahaja memusnahkan patung-patung perajurit, sebaliknya turut meretakkan tapak asas tugu yang diperbuat daripada batu marmar.
Ramai yang hanya tahu kemusnahan itu berjaya dipulihkan, namun ramai yang tidak tahu, tanpa tangan-tangan ajaib, monumen itu tidak mungkin kekal indah berdiri seperti kita lihat hari ini.
Christopher Carney, 74, Zolkeply Maulana, 69, Mufti Jantan, 73 dan Abdul Mansoor, 71, adalah tangan-tangan ajaib dimaksudkan, yang terlibat dalam kerja membaik pulih Tugu Negara.
Kini selepas 46 tahun berlalu, kesemua pengarca itu dipertemukan semula sambil disaksikan Tugu Negara dalam suatu pertemuan baru-baru ini.
Pertemuan itu sudah dua tahun dirancang Carney. Ini kerana, selepas projek tersebut siap dibaik pulih, masing-masing membawa haluan sendiri sehingga menyebabkan mereka terputus hubungan.
Carney kini menetap di Port Houn, Tasmania, Australia, Mufti di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), manakala Zolkeply dan Abdul Mansoor masing-masing menetap di Kajang, Selangor.
“Pertemuan itu diatur bagi mengimbau kenangan manis sewaktu bersama-sama membaik pulih monumen bersejarah itu bersama bekas anak didik saya,” katanya memulakan bicara.
Pada pertemuan itu, kesemua warga emas ini kelihatan cergas dan gembira. Carney dan Mufti meluangkan masa selama dua minggu di negara ini, sebelum berangkat pulang ke Australia dan AS.
Selain pertemuan itu, mereka juga menghadiri program khas di alma meter kesayangan mereka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, bagi berkongsi pengalaman dan berdialog bersama pelajar dan pensyarah.
Tanpa tajaan daripada mana-mana pihak, kedatangan mereka semuanya seikhlas hati menggunakan duit sendiri. Keakraban yang terjalin antara empat sekawan ini bagai air dicincang tidak akan putus.
Menariknya, pertemuan mereka sebenarnya bermula di media sosial selepas Mufti terjumpa Faceboook milik Zulkifli. Menerusi medium itu, mereka mengaturkan pertemuan penuh nostalgia ini.
UTUS SURAT
Mengimbau kenangan, Carney, yang waktu itu bergelar pensyarah Kajian Seni Halus dari Institut Teknologi Mara (ITM) (kini dikenali sebagai UiTM) terpanggil untuk melakukan kerja membaik pulih Tugu Negara lantaran meyakini kemahiran seni halus arca yang dimilikinya.
Selepas mengetahui insiden tersebut menerusi akhbar, beliau menawarkan diri untuk membaik pulih tugu berkenaan sehari selepas letupan berlaku.
Carney mendedahkan beliau sendiri mengutuskan surat kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Allahryam Tun Hussein Onn.
“Pada suatu hari, saya dapat tahu pihak kerajaan akan mengadakan mesyuarat Pembiayaan Pemulihan Tugu Negara. Saya memandu sendiri ke pejabat Perdana Menteri dan mengirimkan surat kepada setiausaha akhbarnya.
“Masa itu pukul 12 tengah hari dan saya cakap surat ini mesti sampai sebelum mesyuarat berlangsung pada pukul 2 petang,” kongsinya.
Ketika itu, Carney berkata, terdapat cadangan untuk menghantar kesemua serpihan monumen yang hancur ke Austria dan dibaik pulih di negara tersebut.
“Saya berasa ralat sebab ia mesti dibaiki di negara ini kerana saya sendiri mempunyai pengalaman terlibat dalam kerja melebur logam, mengimpal dan mengarca. Tidak ramai yang mempunyai skil ini serentak.
“Saya cakap bagi sedikit wang dan saya akan membina semula sebahagian serpihan yang hancur. Selepas siap, saya meminta ahli jawatankuasa melihat sendiri hasil yang sudah dibuat.
“Akhirnya, mereka kagum melihat hasil tersebut dan menawarkan saya terlibat dalam projek ini,” ujarnya yang bertindak sebagai penyeliaan kerja baik pulih berkenaan.
Ketiga-tiga anak muridnya itu terpilih untuk kerja baik pulih berdasarkan kemampuan masing-masing dalam bakat seni halus selain keberanian untuk menggalas tugas penting itu.
Projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh setahun seminggu.
Melihat Tugu Negara tegak berdiri, jauh di sudut Carney, beliau berbangga dengan sedikit bakti dicurahkan buat pertiwi negara.
Mengenai padangannya terhadap Malaysia hari ini, kata Carney, selepas empat dekad berlalu, beliau berbangga dengan pencapaian negara ini yang cukup cemerlang.
“Banyak perubahan dan kemudahan infrastruktur berbanding zaman saya bekerja dahulu. Saya pernah mengunjungi beberapa negeri mundur di AS dan melihat infrastruktur tidak diselenggara baik.
“Situasi ini jauh berbeza dengan Malaysia yang mempunyai infrastruktur luar biasa seperti jalan raya, jalan bertingkat dan bangunan pencakar langit.
“Pada saya, Malaysia kini adalah sebuah negara yang berjaya, moden, bertenaga yang berupaya mencapai status negara maju pada masa depan,” katanya.
Berkongsi pengalaman berkhidmat di UiTM selama empat tahun, kongsinya, beliau masih mengingati menunggang motosikal Honda C50 ketika bergelar pensyarah.
Katanya, ketika itu jalan tidak sesak seperti hari ini dan membuatkan dirinya berani menunggang motosikal.
“Kalau hari ini saya tak berani nak bawa motor di Malaysia. Saya ingat nak sewa kereta masa datang sini, tetapi saya batalkan niat itu sebab bimbang akan sesat dalam tempoh lima saat.
“Lepas turun pesawat, saya hanya mengecam papan tandas AWAS di sepanjang jalan. Banyak perubahan sudah berlaku,” kongsinya.
PERLU TEKUN, TELITI BAIKI 100 SERPIHAN
Insiden yang menyebabkan 100 serpihan patung tugu berkecai perlu dilakukan secara satu persatu selain menuntut kreativiti pengarca.
Lantaran itu, kerja-kerja membaik pulih itu menuntut tempoh yang panjang dan perlu dilakukan dengan tekun dan teliti.
Kata Mufti, ada bahagian berlubang perlu dibaik pulih dengan membentuk bahagian itu semula menggunakan tanah liat.
“Ada bahagian perlu diubah suai menjadi acuan, sementara gangsa tuang yang merupakan logam digunakan bagi pembentukan bahagian patung dihasilkan di foundri logam, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Terengganu.
“Selepas gangsa tuang dihasilkan, kerja-kerja mengimpal dan teknik chasing dilakukan untuk membentuk tekstur seperti urat pada patung,” jelasnya.
Selain berdepan cuaca panas, kilat dan petir semasa menyiapkan projek yang memakan masa selama setahun seminggu itu, mereka turut pernah menerima ancaman surat layang daripada anggota komunis yang mengancam kerja-kerja pembaikan tersebut.
Kerja-kerja pembaikan tetap diteruskan seperti biasa selepas aspek keselamatan dikawal rapat oleh pihak polis hutan.
“Masa itu kita masih muda dan baru keluar universiti. Sekalipun ada ancaman, kecintaan untuk menyiapkan projek ini melebihi segalanya termasuk perasaan takut.
“Saya sendiri pernah menyiapkan kerja sehingga pukul 10 malam. Namun, selepas terima ancaman, kerja-kerja itu hanya dilakukan sehingga pukul 5 petang,” kongsinya.
Selepas kerja-kerja pemulihan itu, Mufti yang berasal dari Segamat, Johor mendapat tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran dan bekerja di negara Uncle Sam.
Menariknya, beliau tidak menyambung pengajian Sarjana dalam bidang Seni Halus, sebaliknya memilih untuk mengikuti pengajian dalam jurusan perfileman di Universiti Boston.
“Saya suka tukar kos pengajian sebab yakin kita boleh buat macam-macam perkara. Pokok pangkalnya mesti fokus.
“Ikutkan saya tak bekerja langsung dalam bidang seni lukis atau seni arca di AS. Saya lebih banyak mengajar dan membuat penyelidikan termasuk dalam bidang perubatan,” katanya.
Walaupun bermastautin di negara orang, jauh tersemat kerinduan dan kecintaan Mufti terhadap negara sendiri.
Baginya, Malaysia adalah sebuah negara yang penuh keindahan dengan kehijauan hutan tropika dan terlindung dengan sumber alam semula jadi.
“Hati dan jiwa saya tidak pernah berpisah dengan negara sendiri. Saya pulang ke Malaysia dalam dua hingga tiga tahun sekali. Bukan semestinya pada hari raya semata-mata dan ia bukanlah idea yang baik,” katanya yang kini menghabiskan sisa hidup sebagai pesara bersama isterinya.
BERISIKO JATUH
Berkongsi cabaran sama, Zolkeply berkata, beliau dan kumpulannya itu tidak pernah gentar walaupun perlu memanjat perancah besi yang tinggi demi perajurit bersadur gangsa itu.
“Tak pernah fikir soal jatuh, sebab sangat yakin dengan kerja ini. Masa itu pula tenaga masih kuat dan penuh bersemangat.
“Kami tak pernah risau akan diserang balik oleh pengganas komunis. Apa yang kami fikir hanyalah mahu menyiapkan projek tersebut.
“Pernah ada pengalaman balik malam dan saya perasan seperti ada kereta lain mengekori. Namun, mujur tiada apa-apa berlaku ketika itu,” kongsinya yang pernah berkhidmat di Muzium Negara selama empat tahun.
Kemudian, pihak muzium menghantarnya bekerja dan menimba pengalaman di Indonesia. Beliau akhirnya memilih untuk membuka syarikat sendiri yang mempunyai studio berkaitan seni, mural, patung dan miniatur di Kajang.
“Skil ini (live casting) tak ramai boleh buat. Saya akan menghasilkan patung berdasarkan permintaan. Ada patung yang mempunyai raut wajah Cina, India atau Melayu untuk dibekalkan kepada pihak muzium.
“Studio itu sekarang sudah bertukar fungsi sebab saya sudah bersara. Kini saya jadikan sebagai tempat mengaji,” katanya.
Baginya, pertemuan berkenaan mengubat kerinduan mereka berempat yang pernah memahat sejarah dalam proses pembaikan Tugu Negara.
Sebagai bekas anak murid, beliau menyanjung tinggi usaha pensyarahnya dalam memulihara seni warisan Melayu.
“Saya sangat respek Carney sebab beliau sendiri membawa kami anak-anak Melayu dan mencari foundri Melayu. Beliau sendiri mahu memartabatkan seni, warisan dan peninggalan orang Melayu,” ujarnya.
BUKAN SOAL BAYARAN
Bagi Abdul Mansoor Ibrahim, beliau tidak pernah terlintas tentang bayaran yang bakal diterima ketika itu.
Sebaliknya, beliau lebih teruja dan seronok kerana terpilih melakukan kerja tersebut bersama rakan seperjuangan lain.
“Membaiki tugu ini adalah satu cabaran dan sumbangan pada negara yang patut kita hargai.
“Itulah tugas pertama yang saya lakukan selepas menamatkan pengajian di universiti,” kongsinya.
Mansoor kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang seni halus selama empat tahun di Paris.
Sekembalinya dari Perancis, beliau bergiat aktif menjadi pelukis bersama kumpulan seniman, Anak Alam yang terkenal dalam seni lukisan dan teater pada era 80an di sekitar ibu negara.
“Saya masih aktif dalam dunia seni lukis dan banyak menghasilkan seni cetakan daripada media gurisan asid (etching) dan wood engraving.
“Penghasillan cetakan ini dibuat di rumah atau studio pena di 17 tempat cetakan yang dimiliki teman pelukis lain.
“Bila menghasilkan kerja seni, ia berbalik keinginan dalam diri kita. Berkarya itu bukan hanya memikirkan pada soal permintaan semata-mata,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta di Bangi.