Karnival Usahawan Desa@Putrajaya2023 sasar jualan RM10 juta

Karnival Usahawan Desa (KUD)@Putrajaya2023 sasar jualan RM10 juta

CHE Murad Sayang Ramjan (tengah) meninjau gerai jualan sempena Karnival Usahawan Desa@Putrajaya 2023 di Anjung Floria, Putrajaya, kelmarin. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Karnival Usahawan Desa (KUD)@Putrajaya 2023 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta sepanjang lima hari program itu bermula semalam hingga Ahad ini.

Jumlah itu meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan yang dijangka menarik penyertaan sehingga sejuta pengunjung membanjiri Anjung Floria, Putrajaya.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, hampir 1,000 pempamer dalam kalangan usahawan desa merancakkan karnival ini dengan tarikan utama menampilkan keunikan kawasan desa masing-masing dari segi makanan dan produk diusahakan.

“Karnival ini menampilkan elemen keusahawanan bagaimana KKDW memberi penekanan dalam aspek ini terutama dari segi pembiayaan dana, latihan dan penyediaan premis perniagaan yang digerakkan agensi di bawah KKDW.

“Ini termasuk pengenalan Rural Tourism atau pelancongan desa selain mengangkat usahawan muda wanita yang berjaya mengusahakan produk masing-masing hanya bermula dengan perniagaan kecil-kecilan, tetapi mampu mencapai nilai jualan sehingga RM2 juta hasil semangat dan daya kreativiti mereka setanding produk terkemuka lain,” katanya.

KUD@Putrajaya kali ini juga menyaksikan pelbagai makanan, masakan panas dan minuman disajikan untuk pengunjung.

Antaranya adalah nasi kandar, nasi dagang, murtabak, rendang maman, nasi ambeng, mi bandung, patin masak tempoyak, pasembor, bihun sup utara dan laksam.

“Kita mengingatkan usahawan menyediakan kaedah pembayaran secara digital sama ada kod QR ataupun e-dompet,” katanya.

SEORANG pempamer memproses jus buah delima pada Karnival Usahawan Desa@Putrajaya 2023 di Anjung Floria, Putrajaya, kelmarin.

Che Murad berkata, komponen Rural Tourism diperkenalkan khas bagi tujuan itu yang dijayakan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) dan Program Desa Lestari serta pengenalan kepada Konsep Desa
Sejahtera iaitu konsep desa ideal yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat bandar.

Menerusi Rural Tourism Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) pula, katanya, pengunjung bakal disajikan dengan glamping di tepian Laman Padi di samping menikmati minuman kopi produk usahawan luar bandar bimbingan KEDA.

Beliau turut memaklumkan, Rural Tourism Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pula mempamerkan Pavilion Bahtera Kejora yang mempromosikan produk pelancong di wilayah itu.

“Di samping itu terdapat Laman Kelulut dan gelanggang sukan rakyat yang memberi ruang pengunjung mengimbau kenangan lalu menerusi sepak raga, batu seremban, boling kelapa dan congkak,” katanya.

Pada masa sama, Rural Tourism Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pula mempamerkan Laman Herba dan Laman Cendawan dengan dimeriahkan beca berhias serta pameran rumah bot Tasik Kenyir.

Tidak ketinggalan Rural Tourism Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mengetengahkan seni budaya negeri sebagai tarikan pelancongan luar bandar seperti persembahan Dikir Barat, pameran dan demonstrasi wau bulan dan juga persembahan gasing terbang.

Lebih menarik, pengunjung KUD@Putrajaya 2023 bertuah bakal memenangi sebuah kereta Produa Myvi menanti pengunjung yang bertuah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya