PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas lapan jam berada dalam kenderaan di Ara Damansara, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang mangsa berlaku akibat ibunya menyangka sudah menghantar anaknya ke tadika.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.40 petang menyatakan mangsa tidak sedarkan diri di rumah di Ara Damansara, di sini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, ibu mangsa berusia 30-an menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran dan seterusnya ke tadika berdekatan untuk menghantar mangsa pada pukul 7 pagi.
“Sampai di tadika, ibu mangsa berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.
“Ibu mangsa terus balik ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada di dalam kereta pada pukul 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhruddin berkata, bapa mangsa membuat panggilan Mers 999, memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian.
“Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka, lebih bertanggungjawab dan mementingkan keselamatan anak di bawah jagaan masing-masing.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya. – UTUSAN