KUBANG PASU: Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai akibat digilis jentera pembajak di tengah petak sawah di Kampung Sungai Korok di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Rosli, 11, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritenden Rodzi Abu Hassan, mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemukan dalam keadaan tertiarap dalam lumpur.
“Bagi mengeluarkan mangsa, kami terpaksa mendapatkan khidmat pihak bomba kerana mangsa tersepit di bawah alat pemutar jentera berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, seramai lapan orang anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd. Syahruddin Awang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kedah menerima panggilan melalui sistem MERS 999 dan sebaik tiba di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa iaitu kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan akibat digilis pembajak,” ujarnya. –UTUSAN