SEPANG: “Saya dan suami bersyukur sebab keluarga kami di sana masih selamat, namun kami keluar serah kepada Allah agar mereka tinggal di Gaza dalam jagaan Allah.”
Demikian harapan diluahkan oleh Nurul Ain Haron, rakyat Malaysia yang berjaya keluar dari wilayah Palestin itu ketika ditemui pemberita setelah selamat tiba di tanah air malam ini.
Wanita tersebut dan suaminya, Mohamed Adnan Shaat sebelum itu berjaya dibawa keluar melalui Lintasan Rafah di sempadan Mesir kelmarin setelah 37 hari terkandas di Gaza.
Ketibaan pasangan itu disambut sendiri oleh bapa Nurul Ain, Haron Hamim dan ibunya, Mastura Yusof di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Turut menyambut mereka ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Setiausaha Bahagian Konsular Wisma Putra, Datuk Mohamad Ali Selamat.
Terdahulu mereka mengharungi perjalanan selama tujuh jam 30 minit dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH 165 dari Doha, Qatar sebelum mendarat pukul 8.58 malam tadi.
Beliau yang kelihatan agak keletihan tetapi sebak apabila menceritakan mengenai situasi ketiadaan bekalan makanan dan barang keperluan harian di Gaza yang kritikal.
“Memang ramai derma kepada saya tetapi di sana tiada stok makanan dan selimut untuk kami beli, maka lebih baik keluar dari Gaza untuk ambil langkah seterusnya,” kata beliau.
Menceritakan kenapa akhirnya memilih untuk balik, Nurul Ain menjelaskan bahawa beliau sebenarnya tidak mahu pulang, tetapi suaminya berpendapat lebih baik mereka kena juga keluar.
Keadaan di sana ujarnya, malah lebih teruk ketika konflik berdarah antara pejuang Hamas dengan tentera rejim Israel pada 2014 apabila langsung tiada pun bekalan elektrik dan air.
Pihak Zionis juga memotong urusan pemindahan dana dari luar sama ada menerusi bank atau agensi tertentu menyebabkan banyak sumbangan diterima tidak boleh dikeluarkan.
Keadaan huru-hara jelas Nurul Ain, memang tidak dapat digambarkan dan beliau berfikir adalah baik perkara itu diuruskan dari tempat mereka menginap di Emiriah Arab Bersatu.
“Cuma orang lain mungkin tidak rasa apa yang saya rasa, dapat lihat sendiri satu keluarga syahid apabila rumah mereka dibedil lapan peluru berpandu tentera Israel,” katanya sayu.
Ketika itu, semangat dirinya memang sudah jatuh, namun atas sokongan suami, mereka cuba bantu setakat terdaya dan berasa syukur keluarga mentuanya masih lagi selamat.
Ditanya apakah harapan beliau selepas ini, Nurul Ain mahu proses gencatan senjata dapat disegerakan dan bersedia kembali ke Gaza untuk membantu apa yang patut. – UTUSAN