Jurutera teknologi maklumat didakwa hantar komunikasi jelik sentuh isu homoseksual

Jurutera teknologi maklumat didakwa hantar komunikasi jelik sentuh isu homoseksual

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang jurutera teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik yang menghina agama Islam berkaitan isu homoseksual.

Ahmad Feisal Mohd. Kamil, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran itu di aplikasi Facebook menggunakan akaun `Feisal Kamil’ kira-kira pukul 12.17 tengah hari pada 10 Januari lalu.

Menurut pertuduhan, penghantaran itu didakwa dibuat dengan niat menyakitkan hati orang lain dan kemudian dibaca pukul 1.45 petang, 12 Januari lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di sini.

Ia adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan OKS dilarang membuat sebarang hantaran berkaitan isu itu di laman sosial sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, OKS yang diwakili peguam Muhammad Sufyan Wafiq Mohd. Zainal memohon jaminan itu dikurangkan sehingga RM1,000 atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

Hujah peguam, Ahmad Feisal menanggung isteri yang tidak bekerja dan mempunyai masalah kewangan selepas ditipu semasa menguruskan penempatan anaknya yang belajar di Perancis sehingga mengalami kerugian RM10,000.

Katanya, berikutan itu anak guamnya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar kos perbelanjaan anaknya di sana.

Hakim N. Priscilla Hemamalini kemudian membenarkan Ahmad Feisal diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN