Jurulatih taekwondo berdepan penjara 100 tahun cabul lima kanak-kanak - Utusan Malaysia

Jurulatih taekwondo berdepan penjara 100 tahun cabul lima kanak-kanak

Seksual kanak-kanak
AHMAD Munir Zainuddin diiringi pasukan CID IPD Shah Alam tiba di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak perempuan dekat Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang jurulatih taekwondo berdepan hukuman penjara 100 tahun dan sebatan selepas dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak perempuan pada September hingga Oktober lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Ahmad Munir Zainuddin, 20, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Berdasarkan pertuduhan, jurulatih tersebut didakwa melakukan kesalahan dengan menyentuh dan memegang paha serta kemaluan empat kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun dengan maksud seksual.

Sementara satu lagi pertuduhan pula berkaitan kesalahan menarik tangan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun untuk menyentuh kemaluan tertuduh dengan maksud seksual.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan dalam sebuah dewan awam dekat Seksyen 24, di sini dan dituduh di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan, Ahmad Munir boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nabilah Abd. Rashid memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan selepas mengambil kira kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak.

Peguam mewakili tertuduh, ‘Adil Safwan Ahmad Shaffie bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan dengan mengambil kira status anak guamnya yang masih belajar dan bekerja secara sambilan untuk menanggung kedua ibu bapanya.

Hakim Rasyihah Ghazali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Syarat tambahan turut dikenakan terhadap tertuduh iaitu lapor diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada pukul 8.50 pagi dengan diiringi Unit All Black Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang jurulatih taekwondo direman selama tujuh hari hingga semalam bagi membantu siasatan berhubung laporan cabul kanak-kanak perempuan bawah umur.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, sebelum ini lelaki tersebut direman sejak 3 November lalu apabila ditahan selepas polis menerima empat laporan terhadap jurulatih berusia 20 tahun itu.

Kemudian, beliau memaklumkan polis menerima satu lagi laporan berkaitan kes tersebut menjadikan kesemua mangsa terlibat seramai lima orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN