Jumlah mangsa banjir di Terengganu kembali meningkat  - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Terengganu kembali meningkat 

SEKUMPULAN kanak-kanak mengambil kesempatan bermain air dalam kejadian banjir di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan kepada 621 mangsa daripada 147 keluarga di tujuh daerah setakat pukul 8 pagi ini.

Ketika ini terdapat 12 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Terengganu iaitu tiga di Setiu, masing-masing dua di Marang,  Kuala Terengganu dan Dungun, serta satu di Kemaman, Besut dan Kuala Nerus.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, daerah Setiu yang sebelum ini telah bebas daripada banjir terpaksa membuka semula tiga PPS yang menempatkan 14 mangsa daripada tiga keluarga.

Menurutnya, mangsa tertinggi ketika ini ialah di daerah Kuala Terengganu iaitu 232 mangsa daripada 61 keluarga diikuti Besut iaitu 196 mangsa daripada 43 keluarga. 

“Di Marang, terdapat 69 mangsa daripada 15 keluarga, Dungun (62 mangsa, 12 keluarga), Kuala Nerus (33 mangsa, enam keluarga) dan Kemaman (15 mangsa, empat keluarga).

“Ketika ini, cuaca di kebanyakan tempat adalah baik sekiranya  berterusan, mungkin terdapat PPS yang akan ditutup di beberapa kawasan.

“Kita sentiasa membuat tinjauan di beberapa lokasi yang berisiko banjir dan mangsa pula hanya akan dibenarkan pulang selepas kawasan rumah mereka benar-benar selamat,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan tiada sungai yang melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Namun, dua sungai di daerah Setiu masih merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu  

Sungai Nerus di Kampung Bukit setinggi 11.48 meter (paras waspada 10.5 meter) dan Sungai Setiu di stesen bacaan Jambatan Permaisuri setinggi 7.97 meter (paras waspada 7.60 meter).

Selain itu di daerah Kuala Nerus, stesen bacaan di parit utama Padang Kemunting juga masih melebihi paras waspada dengan bacaan 3.42 meter (paras waspada 3.2 meter). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN