GUA MUSANG: Seorang wanita terpaksa menjual gelang emas miliknya bagi menampung kos perbelanjaan suaminya yang disahkan menghidap kanser rektum atau kanser usus besar sejak Ogos lalu.
Kehidupan Wan Normarlisa Sahila Wan Azmi, 40, bersama empat anaknya yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di Jalan Persiaran Raya di sini berubah sekelip mata apabila suami, Nor Zamzuri Ibrahim, 44, disahkan menghidap kanser rektum.
Wan Normarlisa Sahila Wan Azmi, 40, yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata, sejak Ogos lalu dia terpaksa membawa suaminya berulang-alik dari rumah ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan.
Katanya, untuk menampung kos rawatan dan pengangkutan untuk ke HRPZ II yang jaraknya lebih 300 kilometer (km) dia terpaksa menjual seutas gelang emas miliknya.
“Kadang-kadang suami terpaksa tinggal selama 10 hari di hospital untuk menerima rawatan dan saya terpaksa bercuti selama tempoh itu untuk menjaga suami di hospital.
“Suami kini sudah memakai beg stoma kerana masalah penyakitnya dan dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Setiap dua minggu sekali dia perlu ke HRPZ II untuk membuat kemoterapi dan saya sendiri yang akan memandu kenderaan untuk membawa dia ke sana,” katanya.
Terdahulu, Wan Normarlisa menerima sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gua Musang yang disampaikan Yang Dipertuanya, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani di sini hari ini.
Menurut Wan Normarlisa, setiap bulan dia perlu membelanjakan lebih RM200 untuk membeli beg khas (beg stoma) yang menjadi keperluan penting suaminya ketika ini.
Katanya, beg stoma itu perlu ditukar dua hari sekali.
“Kini tanggungjawab terhadap keluarga terletak di bahu saya kerana suami sudah terputus sumber pendapatan apabila tidak dapat bekerja sebagai pemandu kontrak kenderaan pacuan empat roda.
“Suami hanya boleh menerima rawatan di HRPZ II dan selepas ini saya terpaksa membuat keputusan untuk bertukar tempat kerja dan berpindah ke Kota Bharu.
“Anak-anak juga akan ditukar sekolah di Kota Bharu, lebih dekat dan mudah untuk saya menguruskan suami dan mengelak anak-anak tercicir dalam pelajaran,” katanya.
Sementara itu Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, bagi meringankan beban keluarga terbabit pihaknya telah memberi sumbangan awal sebanyak RM500.
“Insya-Allah selepas ini akan menyusul sumbangan yang seterusnya daripada pihak PIBG sekolah kerana mereka juga ada membuat kutipan untuk membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
“Saya berharap keluarga ini terus tabah dan bersabar dengan ujian ini dan orang ramai boleh membantu untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh menghubungi Wan Normarlisa di talian 0145477312 atau menerusi akaun Bank Islam bernombor 03063020339656.-UTUSAN