PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia memberi kerjasama dan menyokong penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah bagi menukar spesifikasi kenderaan perdagangan.
Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha berkata, beliau sentiasa mengambil serius berkenaan pelanggaran tatakelola dan salah laku warganya yang terlibat dalam isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Kata beliau, tangkapan anggota penguatkuasa oleh SPRM kelmarin merupakan kerjasama strategik bersama JPJ dalam mengesan dan menangani sebarang pelanggaran prosedur serta penyelewengan dalam urus niaga yang dijalankan oleh jabatan itu.
“Kerjasama ini turut merangkumi aspek penambahbaikan prosedur dan arahan jabatan dalam memastikan sebarang kelompongan dan kelemahan dapat diatasi.
“Pihak Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran prosedur dan tata kelola dalam kalangan warganya,” katanya di sini.
Beliau turut mengingatkan, tindakan tegas akan diambil mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Diharap warga JPJ akan sentiasa memegang amanah yang diberikan dan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan telus,” jelasnya.
Terdahulu, SPRM melancarkan operasi khas dengan menahan sepuluh individu termasuk lima anggota penguatkuasa iaitu empat individu di Johor, Selangor (tiga individu) ; Perak (dua individu) dan Sabah (1) selepas disyaki meminta rasuah sebagai balasan untuk meminda dan mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan.
Mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan dan orang tengah sebagai balasan bagi menukar butiran daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau di dalam sistem tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Terdapat dua modus operandi (MO) dipercayai dilakukan oleh sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir-butir kenderaan.
Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sekitar tahun 2019 hingga 2022 dan nilai wang rasuah dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.28 juta untuk lima orang anggota penguat kuasa yang terlibat terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.
Manakala ketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat daripada aktiviti sindiket ini dianggarkan sekitar kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022.
Pemilik kenderaan perdagangan yang mahukan pengurangan cukai jalan sebanyak 50 peratus tanpa mematuhi peraturan dan prosedur sah dipercayai akan menghubungi ejen untuk membuat pindaan ataupun pembetulan terhadap maklumat kenderaan mereka.
Ejen pula akan menghubungi anggota penguat kuasa dan akan memberikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat tanpa mengikut prosedur ditetapkan. – UTUSAN