BANGI: Aman Palestin Bhd. (Aman Palestin) menjelaskan bahawa empat jongkong emas yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini adalah bagi manfaat pelaburan.
Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid berkata, dakwaan kononnya jongkong emas itu digunakan untuk menyeleweng dana sumbangan awam adalah tidak benar kerana ia suatu bentuk pelaburan dan dibenarkan berdasarkan kuasa yang diberikan ahli lembaga pengarah Aman Palestin.
“Dakwaan itu berniat jahat dan tidak benar sama sekali. Ada 16 kuasa diberikan kepada ahli lembaga pengarah Aman Palestin dan kuasa untuk melabur itu ada dalam pelbagai mekanisme.
“Ia tidak salah, lagipun emas itu bernilai dan berharga serta mudah untuk ditukarkan kepada tunai sebelum dihantar kepada mereka yang memerlukan bantuan. Dakwaan itu meleset, tidak betul dan tidak berintegriti selain berniat jahat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, Aman Palestin sentiasa melakukan pengauditan setiap tahun dan kali terakhir dilakukan pada tahun 2021, malah, dokumen audit itu boleh dilihat menerusi laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sebelum ini, SPRM mengesahkan berjaya merampas empat jongkong emas termasuk tiga unit komputer riba, empat unit telefon bimbit dalam siri serbuan di pejabat Aman Palestin pada 24 November lalu selain mula memanggil beberapa individu untuk keterangan mereka direkodkan.
SPRM sebelum ini mengesahkan sudah membekukan 41 akaun bank syarikat milik pertubuhan itu berjumlah RM15,868,762 selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Siasatan awal SPRM mendapati, penyaluran dana awam kepada Aman Palestin ada yang digunakan untuk membeli aset atas nama syarikat proksi. – UTUSAN