LAHIR dalam keluarga yang mencintai seni membuatkan Firdaus Jumaat atau dikenali dengan nama pentas Space Walk terdedah dengan keindahan muzik pada usia muda.
Ketika berumur lapan tahun, bakatnya sudah dikesan dengan kemahirannya bermain gitar. Dari seorang ‘anak band’, Firdaus, 28, kemudian memberanikan diri berjinak-jinak menulis dan menerbitkan karyanya sendiri.
Awal pembabitan dalam pembikinan muzik, Space Walk banyak mengambil inspirasi daripada idolanya, Noh Salleh yang dianggap seorang artis Malaysia yang geliga menampilkan sentuhan unik di setiap lagu.
“Dalam bermuzik, saya banyak diinspirasikan daripada Noh Salleh yang juga vokalis kumpulan Hujan. Noh ada menerbitkan album solo yang menurut saya sangat rencam dan keluar daripada kebiasaan bunyi lagu-lagu Melayu. Noh bereksperimen dengan muzik Jepun serta alat muzik seperti biola dan saksofon.
“Enam tahun lalu, semasa saya masih baru menerbitkan muzik sendiri. Saya ada mesej Noh di Instagram mengucapkan terima kasih kerana lagu-lagunya seperti menyelamatkan saya dalam banyak situasi buruk.
“Noh balas mesej itu, dia puji saya hebat bermain gitar dan berpesan jangan tinggal solat,” katanya ketawa.
PENYATUAN DALAM IT’S TIME TO CARI GANTI
Siapa sangka takdir menemukan kembali Space Walk dan idolanya Noh Salleh, kali ini menerusi kolaborasi lagu terbaharu mereka bertajuk It’s Time To Cari Ganti. Lagu tersebut juga menjadi antara eksperimennya menulis lagu-lagu berbahasa Melayu.
“Kebanyakan lagu saya sebelum ini berbahasa Inggeris, namun kali ini saya mahu menulis lagu bahasa Melayu yang saya rasa lebih mencabar. Perkataan bahasa Melayu memiliki banyak maksud membuatkan saya lebih berhati-hati semasa menulisnya. Namun saya tidak kekok.
“Sebenarnya lagu ini saya sudah siapkan kira-kira tiga tahun lalu namun seperti ada yang tidak lengkap. Kawan saya cadangkan untuk ajak Noh Salleh berkolaborasi, awalnya saya sempat ragu adakah nama besar seperti Noh mahu bekerjasama dengan saya?
“Saya cuba mesej di Instagram. Ternyata Noh orang yang sangat santai, selepas berbincang, dia menyukai lagu saya. Kami rakam lagu itu di Singapura,” ceritanya yang turut mengagumi band Payung Teduh, The Beatles dan gitaris, Jimmi Hendrix.
Sebelum kemudian, lengkaplah lagu It’s Time To Cari Ganti yang bercerita mengenai perpisahan dan patah hati dalam muzik yang ceria.
Bercerita mengenai perancangan masa depan, jejaka kelahiran Singapura itu juga bakal tampil dengan karya terbaharu bersama artis senegaranya iaitu Martin Spacely.
“Terkini, saya bakal tampil dengan lagu baharu bersama Martin Spacely. Di samping itu, saya juga sedang merancang untuk memanjangkan ruang kolaborasi dengan seorang lagi artis dari Malaysia.
“Cuma saya belum boleh kongsikan siapa namanya. Tunggu ya,” katanya menutup perbualan.