BUKIT GANTANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak masih mengesan ibu bapa kepada empat beradik yang ditinggalkan tanpa penjagaan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah kelmarin.
Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin berkata, pihaknya memberi perhatian kes tersebut dan telah mengambil beberapa tindakan termasuk mengesan ibu bapa mereka.
Menurutnya, kanak-kanak itu sedang menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka benar -benar sihat.
Katanya, berdasarkan pemerhatian awal, kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik.
“JKM juga membuat semakan berkaitan kanak-kanak itu yang dikatakan tiga daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kita sedang mengambil langkah mengenal pasti secara mendalam mengenai maklumat berkaitan keluarga kanak -kanak itu” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Sungai Tinggi di sini hari ini.
Kelmarin, empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan ditinggalkan tanpa penjagaan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah.
Mereka ialah kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing 3 tahun dan 10 bulan.
Sementara itu, mengenai empat beradik terabai yang sebelum ini dijaga sementara oleh satu keluarga di Bagan Datuk, Nor Tipah berkata, permohona JKM bagi hak penjagaan empat beradik itu masih dalam proses.
Menurutnya, empat beradik berusia tiga, lima, lapan dan 11 tahun itu berada dalam jagaan pihak JKM dan mereka dalam keadaan baik.
” Pada masa ini, JKM memberikan penempatan sementara dengan segala kebajikan mereka dijaga sebaiknya.
“JKM akan melihat kesesuaian untuk memilih ahli keluarga yang sesuai bagi menjaga empat kanak -kanak itu,” katanya. – UTUSAN