JAS bincang tambah stesen pengawasan air automatik

JAS bincang tambah stesen pengawasan air automatik

WAN Abdul Latiff Wan Jaffar ketika sesi interaktif bersama pempengaruh dan media berhubung isu kualiti air di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan berbincang dengan kerajaan negeri dan operator loji rawatan air bagi membuka lebih banyak stesen pengawasan air automatik di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, ketika ini, JAS mempunyai 30 stesen pengawasan air automatik di seluruh negara selain stesen manual yang dilakukan enam kali setahun.

Beliau berkata, buat masa ini, stesen pengawasan air automatik itu dipasang di hulu takat pengambilan air sebagai langkah awal mengesan pencemaran air.

“Kami ada rancangan untuk tambah stesen automatik itu dan ia akan diteliti lanjut,” katanya ketika ditemui pada sesi interaktif JAS bersama pempengaruh dan media berhubung isu kualiti air di sini, hari ini.

Katanya, stesen automatik itu penting kerana dapat memberi isyarat awal pencemaran air dan sekiranya air tercemar tiba di muka sauk, maka air akan disedut dan masuk ke dalam loji rawatan air.

Ditanya sama ada JAS merancang untuk memasang sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan sungai bagi mengesan aktiviti pencemaran sungai, Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya belum ada rancangan untuk memasang sistem itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain yang terlibat dalam kawal selia air di negeri masing-masing supaya mengambil inisiatif memasang CCTV itu.

“Sepanjang pengetahuan saya, belum ada CCTV dipasang di takat pengambilan air sungai itu setakat ini,” katanya.

Ditanya pembabitan JAS dalam mengurangkan impak banjir di beberapa negeri, Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam perkara itu sebaliknya membantu menyediakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek tebatan banjir.

“Kita terlibat dari segi menyediakan laporan kajian alam sekitar bagi projek tebatan banjir dan meneliti kesannya kepada alam sekitar.

“Dalam laporan EIA itu, mereka (projek tebatan banjir) perlu menggariskan langkah-langkah kawalan bagi mengelak pencemaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya