KEMAMAN: Seorang peniaga burger terpaksa menahan kesakitan lebih sejam selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging dalam kejadian di kediamannya, di Kerteh, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian tersebut, wanita berusia 31 tahun itu, putus kesemua jari hingga ke pergelangan tangannya itu selepas sarung tangan getah yang dipakainya ketika proses membuat daging burger dipercayai tersangkut pada bilah mesin tersebut.
Kejadian itu disedari suaminya yang kemudiannya membawa mangsa bersama mesin pengisar tersebut ke Hospital Kemaman.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan 4.42 petang daripada Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menanggalkan mesin pengisar tersebut.
“Kesemua jari wanita itu telah hancur akibat terkena bilah mata mesin pengisar.
“Kita menggunakan playar untuk membuka pengisar tersebut bagi mengeluarkan tangan mangsa,” katanya.
Mohd. Zailani berkata, ketika pihak bomba melakukan kerja-kerja meleraikan mesin pengisar tersebut, mangsa dibius oleh pegawai perubatan untuk mengurangkan kesakitannya.
“Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menanggalkan mesin tersebut,” katanya.
Mohd. Zailani berkata, wanita itu kemudiannya dirawat oleh pasukan perubatan. – UTUSAN