Janji Madani gagal, hala tuju negara ke arah salah - Armada - Utusan Malaysia

Janji Madani gagal, hala tuju negara ke arah salah – Armada

Madani gagal
WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berucap pada Persidangan Tahunan Armada Bersatu di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelima 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Janji Kerajaan Madani kepada rakyat selepas setahun mengambil alih kerajaan didakwa gagal ditunaikan, malah hala tuju negara turut berada di arah salah. 

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pendekatan yang digunakan ketika ini dilihat umpama slogan semata-mata dan hanya tinggal janji.

Dakwanya, kegagalan yang jelas itu antaranya melibatkan isu kos sara hidup, pelaburan dan undang-undang syariah di negara ini.

“Kita ada kementerian keterjaminan makanan tetapi sehingga kini makanan masih tidak terjamin harganya.

“MoU pelaburan pula paling banyak tahun ini namun adakah ia nampak hasil? Malah jumlah pelaburan terhasil juga kian menurun dan dimana naiknya kilang dan gudang atau semuanya masuk perut taikun?

“Berkaitan isu martabat mahkamah dan undang-undang syariah, kenapa mahu perkotak-katikkan dan takkan tunggu seluruh Malaysia berarak baru nak dengar?,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Tahunan Armada Bersatu di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelima 2023, hari ini.

Jelasnya, kegagalan itu turut dibuktikan menerusi kaji selidik terbaharu yang mengukur tahap keyakinan rakyat kepada kerajaan Madani.

“Berdasarkan kajian Merdeka Centre, sebanyak 60 peratus rakyat percaya bahawa negara berada di hala tuju yang salah berbanding 29 peratus hujung tahun lalu. 

“Rakyat yang marah dan tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Persekutuan juga naik kepada 48 peratus berbanding hanya 25 peratus sebelum ini. Mereka yang berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) juga menyusut kepada 50 peratus kini,” ujarnya.

Kata Wan Ahmad Fayhsal lagi, isu yang timbul turut melibatkan moral pemimpin dan mereka yang gila kuasa serta talam dua muka.

“Ia berkaitan masalah berkehendak kepada berkehendak. Apa jenis pemimpin terpalit dengan skandal sebegini? Bukan McD sahaja kita boikot, A&W pun kita kena boikot juga.

“Bukan setakat Kementerian Kewangan, malah Kementerian Wilayah pun dia sapu. Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah (Abdullah Badawi) pun tak pernah buat.

“Akibatnya, banyak sekali urusan tertunggak di semua kementerian sehingga ekonomi pun tak dapat bergerak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kebejatan moral dan kemuflisan tamadun yang melanda kerajaan merupakan peluang membuktikan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan di anjungan yang terbaik.

“Ia mampu memberikan kestabilan, wawasan dan kepimpinan kepada negara dan rakyatm.

“Vladimir Lenin juga ada menyebut tentang syarat yang mencambahkan benih revolusi, iaitu rakyat di akar umbi tidak mahu berada di takuk lama, dan pemimpin di atas tidak boleh terus berdegil di tempat sama.

“Rakyat dambakan perubahan dan tidak mahu kepimpinan flip flop yang tiada tulang belakang. Berubah atau diubah, itu saja pilihan yang ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya