Jangan ke Gaza - Razarudin

Jangan ke Gaza – Razarudin

RAZARUDIN HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat negara ini dinasihatkan tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik di Semenanjung Gaza untuk sama-sama berjuang dengan penduduk Palestin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata, nasihat tersebut demi keselamatan kerana kawasan Semenanjung Gaza terlalu getir selain tidak `mengganggu’ taktikal perjuangan Hamas yang sedang menentang Israel.

Katanya, walaupun Malaysia tidak pernah mengklasifikasikan Hamas sebagai pengganas atau militan, kumpulan pembebasan Palestin itu tidak pernah menjemput mana-mana individu atau kumpulan dari negara luar untuk bersama-sama mereka mempertahan kawasan konflik berkenaan.

“Ini adalah salah satu polisi perjuangan Hamas, sudah pasti mereka tidak mahu taktikal dan teknikal yang mereka guna untuk lakukan serangan ke atas Israel diketahui oleh foreign fighter.

“Kita ambil contoh serangan yang dilakukan pejuang Hezbollah, mereka tidak lakukan di kawasan konflik berkenaan tetapi serangan dibuat dari luar. Begitu juga sekiranya negara seperti Iran atau Iraq yang membantu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau ditanya mengenai kecenderungan sesetengah pihak yang mahu membantu penduduk Gaza daripada kezaliman rejim Zionis Israel.

Razarudin turut mengesahkan Malaysia tidak mengklasifikasikan Hamas sebagai kumpulan pengganas atau militan walaupun ada pihak yang mendesak negara berbuat demikian.

Pada 7 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur beberapa pihak terutama media di negara ini yang menggelar Hamas sebagai pengganas atau militan.

Teguran itu dibuat selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta Perdana Menteri menegur dan mengambil tindakan ke atas media terutama media berbahasa Mandarin dan Inggeris yang menggelar Hamas sebagai militan atau pengganas.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, tiada sebarang gerakan dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh mana-mana individu untuk memasuki ke kawasan konflik itu setakat ini.

“Semenanjung Gaza sedang bergolak ketika ini, jadi agak sukar sekiranya orang mahu pergi ke sana. Ia tidak akan berlaku kerana situasi di Gaza masih dalam situasi tegang.

“Bagaimanapun, kita sentiasa memantau mana-mana platform sosial media yang menawarkan atau mengajak orang ramai untuk ke negara konflik berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar rakyat terus berdoa sebagai tanda bersoladiriti kepada warga Palestin yang ditindas.

“Kita juga boleh salurkan pelbagai bentuk bantuan seperti bantuan perubatan dan keperluan asas kepada saudara kita di sana. Ini adalah solidariti terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya